KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan tidak mengadakan sambutan Ambang Tahun Baharu 2024 tengah malam semalam bukan sesuatu yang ‘menghampakan’ rakyat.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, rata-rata orang ramai yang mempunyai cara tersendiri untuk meraikannya apatah lagi rakyat sedang bergelut dengan kos sara hidup dan ekonomi yang tidak menentu ketika ini.

Menurut Sharifah Mazlina Syed Nodzah, 50, dari Puchong, dia sekeluarga kini dalam dilema dan keliru dengan ketidaktentuan politik, tambahan pula situasi ekonomi semakin meruncing pada tahun ini.
“Ekonomi 2024 dijangka tidak baik juga seperti 2023, sekarang orang sudah tidak tengok televisyen, semua bergantung kepada media sosial yang menceritakan 2024 akan lebih teruk.
“Kita sebagai rakyat tempatan semakin takut, tak tahu nak ikut siapa? Azam baharu kita tak ada, kita harapkan (ekonomi) bertambah dan lebih baik dari sebelum ini,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Selain itu, bagi seorang suri rumah, Latifah Nor Affandi, 27, dari Petaling Jaya pula mengharapkan kerajaan tidak lagi melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun ini ekoran peningkatan semula kes Covid-19.
“Saya harap tak ada PKP pada tahun ini, kalau tidak ekonomi kita akan menurun lagi, susahlah kita, nak makan belanja semua.
“Tahun ini saya nak lahirkan anak, saya nak keluarga bahagia, dapat beli rumah dan kalau boleh nak suami dapat kerja tetap,” katanya.

Bagi seorang pemandu lori, Azhly Husain, 31, dari Petaling Jaya tidak menafikan gaji minimum yang diterimanya ketika ini tidak mampu bertahan jika ekonomi negara terus merudum.
“Sama sahaja (azam 2024) tak ada beza, tahun ini macam teruk sangat, gaji RM1,500 kalau sekarang ini macam tak cukup, kos sara hidup sekarang keras.
“Gaji makin kecil, barang mahal, kos sara hidup makin meningkat,” katanya lagi.

Sementara itu, seorang penjawat awam, Mohd Azhar Mat Wazir, 41, berkata, sebagai rakyat Malaysia, dia mengakui semakin maju sesebuah negara itu semakin mencabar ekonominya.
“Azam saya tahun ini nak memperbaiki ibadah dan kalau ada rezeki mungkin ke Tanah Suci. Insya-Allah.
“Cabaran agak mencabar dari segi mencari rezeki, makin maju ekonomi makin lmencabar lagi cara kerja kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette




