Kosa kata anak autisme

Kosa kata anak autisme

razis@mediaprima.com.my

SETIAP ibu bapa pasti mengimpikan zuriat yang dilahirkan dapat menjalani kehidupan seperti kanak-kanak normal yang lain.

Namun, bagi segelintir ibu bapa, bukan semua yang diharapkan menjadi kenyataan apabila diuji dengan anak yang mengalami pelbagai masalah kesihatan termasuk autisme.

Pakar Psikologi Kanak-Kanak, Dr Noor Aishah Rosli berkata, hakikat ini perlu diterima ibu bapa dengan hati terbuka kerana memiliki anak autisme bukan pengakhiran segalanya.

Katanya, sudah terbukti bahawa ramai anak autisme ini mempunyai keistimewaan dan kelebihan sehingga berjaya menjadi individu disegani dalam bidang diceburi.

“Untuk merealisasikan perkara itu, program intervensi awal memainkan peranan penting dalam kalangan kanak-kanak berkeperluan khas, termasuk kanak-kanak autistik.

“Selepas didiagnos dengan autisme, ibu bapa secara automatik dilantik menjadi ‘juru terapi’ kepada anak-anak ini kerana mereka tinggal bersama di bawah satu bumbung.

“Ibu bapa perlu memainkan peranan menjalankan intervensi di rumah sekerap mungkin untuk membantu anak yang mengalami autisme menjalani kehidupan menghampiri normal,” katanya.

Menurutnya, antara simptom yang dihadapi autisme adalah kelewatan pertuturan, tingkah laku berulang dan perlu menjalani rutin yang tidak dilakukan kanak-kanak normal.

“Intervensi awal boleh mengurangkan kesan kelambatan perkembangan yang dialami, malah boleh mengelakkannya daripada menjadi semakin serius.

“Selain itu, intervensi awal juga boleh memaksimumkan potensi kanak-kanak berkeperluan khas dan mengurangkan bebanan masyarakat,” katanya.

Jelasnya, antara intervensi yang boleh dilakukan di rumah adalah sentiasa ‘bercakap bertujuan’ untuk membantu anak-anak autisme yang mengalami masalah kelewatan pertuturan.

“Langkah intervensi ini dapat membantu menambah kosa kata untuk anak-anak yang mengalami autisme sejak kecil.

“Ibu bapa perlu sentiasa bercakap ketika melakukan sesuatu perkara supaya lama-kelamaan anak dapat bercakap menggunakan perkataan yang sering didengari, pada masa sama menyanyi juga dapat membantu anak-anak ini,” katanya.

Selain itu, melalui latihan untuk ke tandas dilihat sebagai intervensi yang dapat membantu perkembangan kanak-kanak autisme.

Mengulas lanjut, sebagai permulaan ibu bapa perlu sentiasa bercerita keperluan ke tandas dan tidak bergantung sepenuhnya dengan penggunaan lampin pakai buang.

“Kemudian ibu bapa boleh bukakan lampin dan membawanya ke tandas. Apabila sudah terbiasa dengan rutin itu, lama-kelamaan anak ini akan mendapat mesej keperluan untuk ke tandas.

“Berdasarkan pemerhatian saya, apabila perkara ini berjaya dilakukan, anak bukan sahaja tahu penggunaan tandas, malah secara automatik kosa katanya semakin bertambah dan mampu bercakap dengan lebih kerap.

“Kajian pernah dijalankan mendapati wujud kaitan antara aktiviti pergi ke tandas dengan pertambahan kosa kata dan lebih kerap bercakap,” katanya.

Tambahnya, aktiviti berenang juga dapat membantu anak autisme yang mempunyai tingkah laku berulang yang kerap dan masalah kelewatan pertuturan.

“Aktiviti berenang dalam air dapat memberi ketenangan kepada anak autisme dan pada masa sama membantu menambah kosa kata, sekali gus membantu percakapan.

“Seorang pelanggan saya melakukan intervensi ini, dapat melihat perubahan positif terhadap anaknya yang dilihat seperti kanak-kanak normal setiap kali berenang.

“Pada saya, ini bukan sekadar intervensi, untuk jangka panjang, kanak-kanak ini boleh menjadikan jurulatih renang sebagai kerjaya kerana kebolehan yang dimiliki,” katanya.

Katanya, dalam melaksanakan intervensi ini, ibu bapa perlu ‘menyibukkan’ anak-anak di rumah dengan pelbagai aktiviti dengan menggunakan barang yang sedia ada di rumah seperti melukis, mewarna, memotong sayur dan sebagainya.

Mengulas lanjut, kekerapan melakukan intervensi sangat penting supaya autisme yang berada pada tahap severe dapat menghampiri seperti kanak-kanak normal yang lain.

“Apabila anak autisme dihantar menjalani terapi dan menjalani intervensi, sepatutnya perkembangannya menjadi lebih baik. Sekiranya ibu bapa boleh melihat perubahan anak, itu tandanya intervensi berjaya dilakukan.

“Oleh kerana sudah dilatih daripada awal, perkembangan anak-anak ini akan semakin menghampiri normal,” katanya.

Tidak dinafikan, intervensi yang perlu dilakukan setiap hari menuntut komitmen dan pengorbanan yang tinggi daripada ibu bapa.

“Bukan sesuatu yang mudah, kerana intervensi adalah satu proses yang mencabar dan lama.

“Namun, tiada alasan atau jalan pintas yang boleh digunakan selain terus menjalankan intervensi secara konsisten untuk manfaat jangka panjang anak autisme,” katanya.

Katanya, dalam hal ini, ibu bapa perlu memainkan peranan membawa anak seawal usia dua tahun untuk menjalani diagnosis untuk mengetahui status kesihatan anak.

“Sama ada anak menunjukkan simptom (autisme) atau sebaliknya, ibu bapa perlu pastikan setiap anak menjalani diagnos untuk menentukan tahap kesihatannya supaya langkah awal boleh diambil.

“Perlu diingat bukan semua autisme boleh dikesan pada awal usia seperti ‘High-Functioning Autism (HFA)’ yang hanya menunjukkan tanda-tanda ketika anak sudah berusia 9 ke 10 tahun.

“Dengan mengetahui status autisme anak, ibu bapa dapat melakukan intervensi pada usia lima tahun pertama yang mampu memberi impak positif terhadap perkembangan anak, sekali gus menjadi penentu masa depan lebih cerah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top