Tali pinggang keledar: JPJ Kelantan keluar 39 kompaun termasuk kepada 4 pemandu bas

Tali pinggang keledar: JPJ Kelantan keluar 39 kompaun termasuk kepada 4 pemandu bas

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mengeluarkan sebanyak 39 kompaun termasuk kepada empat pemandu bas atas kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar dalam tempoh lima hari sehingga semalam.

Pengarah JPJ Kelantan Mohd Misuari Abdullah berkata, kompaun berkenaan dikeluarkan menerusi Ops Tali Pinggang Keledar di seluruh negeri itu.

Menurutnya, sebanyak 162 bas ekspres diperiksa membabitkan laluan Kota Bharu- Kuala Lumpur dan Kota Bharu- Pantai Timur.

“Sebanyak 23 kenderaan yang diambil tindakan dengan pelanggaran paling tinggi membabitkan penumpang dan pemandu tidak memakai tali pinggang keledar masing-masing sebanyak 31 kes serta empat kes.

“Empat bas disaman kerana tali pinggang keledar tidak berfungsi dan tidak diselenggara dengan baik.

“Kesemua kes ini masing-masing dikompaun sebanyak RM300 mengikut peruntukan Kaedah 4 dan 4A Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Tali Pinggang Keledar) 1978 (Pindaan) 2008, Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) iaitu bagi kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Lelongan Awam Kenderaan Sita Siri 1/2025 di JPJ Negeri Kelantan di Panji di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Misuari berkata, hasil pemantauan pihaknya, laluan yang mencatatkan kadar tertinggi ketidakpatuhan adalah dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur serta dari Kota Bharu ke Terengganu dan Pahang.

“Maklumat ini diperoleh menerusi penguatkuasaan yang dijalankan di Stesen Penguat Kuasa Mentara, Gua Musang dan Stesen Penguat Kuasa Bukit Jawa, Pasir Puteh.

“Saya menyeru kepada semua pengendali syarikat bas supaya memastikan kenderaan yang digunakan sentiasa dalam keadaan selamat dan dilengkapi tali pinggang keledar yang berfungsi.

“Bagi bas yang didaftarkan sebelum 1 Januari 2020, saya menyarankan supaya syarikat mengambil inisiatif memasang tali pinggang keledar demi menjaga keselamatan penumpang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top