KPDN tidak terima aduan kenaikan harga makanan R&R PLUS – Fuziah

KPDN tidak terima aduan kenaikan harga makanan R&R PLUS – Fuziah

am@hmetro.com.my

Seremban: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) setakat ini tidak menerima sebarang aduan berhubung dakwaan berlaku kenaikan harga makanan dan buah-buahan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

Timbalan menterinya, Datuk Dr Fuziah Salleh, berkata setakat ini tiada mana-mana pengguna yang menjamu selera atau membeli-belah di R&R PLUS mengadu mereka mengeluh dengan harga makanan.

“Bagaimanapun, kami (KPDN) mengalu-alukan sebarang aduan daripada pengguna sekiranya mereka berhadapan dengan situasi berkenaan.

“Kebiasaannya PLUS memantau harga makanan di R&R bagi memastikan tiada mana-mana peniaga mengenakan harga melampau,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Patuh di Kawasan Rehat dan Rawat PLUS Seremban Arah Selatan, di sini, petang ini.

Beliau diminta mengulas dakwaan segelintir pihak terutama melalui laman sosial yang mendakwa berlaku kenaikan harga makanan dan buah-buahan di R&R PLUS, kebelakangan ini.

Katanya, KPDN ketika ini aktif memberikan advokasi kepada peniaga di R&R terbabit dalam memastikan mereka mematuhi peraturan yang ditetapkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top