Kuantan: Hasrat seorang ibu menemani anak lelakinya melapor diri di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuantan berakhir dengan tragedi apabila beliau meninggal dunia secara mengejut.
Menurut kiriman di Facebook, Mr Wan Cai Official’s post – Jemilah Md Nor, 64, menghembuskan nafas terakhir ketika menginap bersama suami dan anak lelakinya itu di sebuah hotel di Jalan Mahkota, Kuantan, Pahang.
Pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan kematian disebabkan komplikasi akibat penyakit darah tinggi.
Siasatan mendapati arwah sememangnya mempunyai sejarah perubatan berkaitan penyakit berkenaan.
Memandangkan Allahyarham mempunyai rekod perubatan, pihak polis telah mengeluarkan permit kematian tanpa perlu menjalani proses bedah siasat.
Anak lelaki Allahyarham kemudian menghubungi Team Unit Khas Van Jenazah (UKVJ) Pahang bagi mendapatkan bantuan untuk membawa pulang jenazah ibunya ke kampung halaman di Bentong.
Team UKVJ Pahang hadir ke lokasi membawa turun jenazah dari bilik hotel dengan bantuan suami, anak lelaki dan orang ramai.
“Alhamdulillah, jenazah Allahyarham selamat tiba di Masjid Cameng, Batu Satu, Bentong pada jam 3.30 petang tadi,” kata kiriman itu.
Pengurusan seterusnya diserahkan sepenuhnya kepada pihak masjid, menurut kiriman itu lagi.
“Harapan seorang ibu untuk melihat anaknya menabur bakti sebagai kakitangan Pejabat Pendidikan Daerah tidak sempat direalisasikan.
“Perginya sebelum sempat menyaksikan kejayaan yang diimpikannya.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




