KPDNHEP rampas cermin mata dan topi tiruan bernilai RM1.5 juta

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur merampas 36,722 unit cermin mata dan topi tiruan pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM1.5 juta dalam serbuan di dua premis di sekitar Chow Kit hari ini.

Pengarah KPDNHEP Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin, berkata serbuan pada 1.30 tengah hari itu dilakukan susulan laporan yang diterima daripada wakil pemilik cap dagang.

Beliau berkata pemeriksaan dilakukan di sebuah pusat pemborong di Lorong Haji Taib yang dikesan memiliki cermin mata dan topi disyaki menggunakan cap dagangan palsu dari jenama terkenal.

“Hasil soal siasat terhadap penjaga premis membawa kepada penemuan satu premis yang dijadikan stor di Jalan Raja Laut dan digunakan untuk menyimpan barangan berkenaan sebelum dijual,” katanya kepada Bernama hari ini.

 

Sumber: Bernama

Malay News

National Desk