KPKT terus bantu rakyat! Salur RM1.7 juta perkasa infrastruktur & perumahan di N. Sembilan

KPKT terus bantu rakyat! Salur RM1.7 juta perkasa infrastruktur & perumahan di N. Sembilan

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meneruskan komitmennya memperkasa kemudahan awam serta perumahan rakyat menerusi program Sentuhan Kasih MADANI yang berlangsung di Negeri Sembilan pada 16 hingga 17 Julai 2026.

Sentuhan Kasih MADANI

Program selama dua hari yang dipimpin Timbalan Menteri KPKT, Datuk Hajah Aiman Athirah Sabu itu memberi tumpuan kepada pembangunan prasarana komuniti, penaiktarafan perumahan rakyat dan usaha meningkatkan kesejahteraan penduduk.

Antara pengisian utama program ialah perasmian Dewan Terbuka Kampung Panchor di Sikamat yang dibina menerusi peruntukan KPKT sebanyak RM400,000 dengan kos kontrak RM389,000.

Dewan serba guna yang siap dalam tempoh 14 minggu itu direka untuk pelbagai aktiviti komuniti termasuk sukan seperti pickleball dan sepak takraw, selain berfungsi sebagai pusat mengeratkan hubungan kejiranan.

Dalam aspek perumahan pula, KPKT meninjau pelaksanaan kerja penyelenggaraan dan penaiktarafan di Program Perumahan Rakyat (PPR) Paroi yang memberi manfaat kepada 340 keluarga.

Projek tersebut melibatkan kerja menaik taraf rumah sampah bernilai RM60,000 serta pembaikan harta bersama dan sistem perparitan berjumlah RM898,750, menjadikan keseluruhan peruntukan mencecah RM958,750.

Menerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), sebanyak 1,589 unit Rumah Mesra Rakyat (RMR) berjaya disiapkan di Negeri Sembilan bagi tempoh 2022 hingga 2026.

Pada program sama juga, lapan penerima menerima kunci rumah manakala tujuh lagi menerima surat tawaran RMR bagi daerah Kuala Pilah dan Seremban.

KPKT komited pastikan pembangunan fizikal dilaksana

Selain itu, KPKT melalui SWCorp turut memperkukuh penguatkuasaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 [Akta 672] dengan pendekatan “Penguatkuasaan Rahmah tetapi Tegas”, termasuk pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat terhadap pesalah pembuangan sampah kecil serta inisiatif Trash to Cash bagi meningkatkan kadar pemulihan sisa.

“KPKT komited memastikan pembangunan fizikal yang dilaksanakan bukan sekadar menyediakan kemudahan asas, malah mampu meningkatkan kesejahteraan komuniti dan memperkukuh perpaduan masyarakat setempat,” kata YB Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu.

KPKT turut menegaskan kejayaan setiap projek pembangunan bergantung kepada kerjasama erat antara kementerian, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, agensi pelaksana dan masyarakat bagi memastikan semua kemudahan yang disediakan dapat dimanfaatkan serta dipelihara untuk kesejahteraan komuniti.

Scroll to Top