rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Prihatin dengan nasib anggota yang terbabit kemalangan tragis Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) baru-baru ini, Ketua Polis Negara (KPN) meluangkan masa menziarahi waris dan mangsa nahas itu.
Menurut kenyataan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tan Sri Razarudin Husain bersama isteri yang juga Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP), Puan Sri Zainah Othman mengadakan lawatan kebajikan itu semalam.
“Mereka mengunjungi balu kepada Allahyarham Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif iaitu Haswati Rosdi sebelum meneruskan lawatan ke kediaman Koperal Nizam Tarmizi yang sudah dibenarkan pulang ke rumah selepas menerima rawatan di hospital pada Rabu lalu.
“Razarudin dan isteri kemudian menziarahi Helen Tracy Walter iaitu balu kepada mendiang Sarjan Perumal Sugunathan di kediamannya di Bandar Lahat Mines, Ipoh,” kata kenyataan itu di Facebook rasminya hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, Razarudin dan isteri turut mengadakan lawatan kebajikan ke atas keluarga mendiang Koperal Nurit Pandak di Taman Diawan, Kampar.
“Beliau dan isteri menitipkan doa selain menyuntik kata-kata semangat buat waris serta ahli keluarga supaya cekal menghadapi ujian di samping menyampaikan sedikit sumbangan bagi meringankan beban mereka,” katanya.
Lawatan berkenaan turut dihadiri Komander PSP, Senior Asisten Komisioner Rosli Md Yusof; Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad; Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daus dan Timbalan Pegawai Pemerintah PSP Unit 5, Deputi Superintendan Muhamad Amin Mat Yassin.
Pada Selasa lalu, sebuah trak FRU yang membawa 18 anggota dari Unit 5 Sungai Senam terbabit dalam kemalangan dengan lori membawa batu kira-kira 8.50 pagi.
Lapan anggota meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.
Sembilan yang lain mengalami kecederaan.
Trak FRU itu dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai bertugas sempena perayaan Chitrapournami apabila dilanggar lori berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




