am@hmetro.com.my
Georgetown: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan membuat keputusan secara bersama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) berhubung isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dengan mengambil kira keperluan Bahasa Melayu dan Sejarah wajib dipatuhi semua sistem persekolahan di negara ini.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menegaskan keperluan Bahasa Melayu dan Sejarah bukan hanya terpakai kepada UEC malah membabitkan semua sistem persekolahan yang tidak berteraskan kurikulum kebangsaan, termasuk sekolah antarabangsa dan sekolah agama.
Beliau berkata, pendirian KPT selari dengan penegasan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kerajaan mahu menyelesaikan isu berkenaan secara menyeluruh meliputi keseluruhan ekosistem pendidikan dan bukan tertumpu kepada satu kursus atau laluan pendidikan sahaja.
“Apa yang saya sebutkan berkali-kali, ia berkaitan dengan apa yang ditekankan Perdana Menteri ialah penyelesaian menyeluruh merangkumi keseluruhan sistem pendidikan, bukan tertumpu kepada satu kursus sahaja iaitu UEC semata-mata.
“Perdana Menteri sebutkan juga ialah sekolah-sekolah antarabangsa dan sekolah-sekolah agama yang tidak mengikut kurikulum nasional,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program KARISMA Pemimpin Muda Madani Zon Utara 2026 di Universiti Sains Malaysia (USM), di sini, hari ini.
Zambry berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pertemuan Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dengan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berhubung keperluan mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah di sekolah.
Pengerusinya Dong Zong Tan Yew Sing turut dilaporkan berkata pertemuan itu diadakan bagi membincangkan pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Negara 2026–2035, khususnya berkaitan UEC.
Zambry dalam perkembangan sama berkata, pihaknya tidak mahu keputusan dibuat secara berasingan oleh kementerian berbeza tanpa kesepakatan bersama.
Justeru, pihaknya mengambil pendekatan berhati-hati dan bersepadu sebelum sebarang keputusan rasmi diumumkan termasuk melalui perbincangan merentasi Kementerian serta pihak berkepentingan dalam isu berkenaan.
“Jadi kita tidak mahu saya buat keputusan lain, Fadhlina mahu buat keputusan lain, biarlah kita buat keputusan bersama-sama selepas diadakan perbincangan dengan pihak berkenaan.
“Sebagai contoh (perbincangan) dengan sekolah antarabangsa yang sudah pun diadakan, dengan pihak sekolah agama, UEC diadakan jadi kemudian kita duduk, kita akan keluarkan kenyataan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




