Kreativiti dramatik

Kreativiti dramatik

Muhamaad Razis Ismail

razis@mediaprima.com.my

Artis visual negara, Umibaizurah Mahir @ Ismail terus mengukuhkan kedudukannya di pentas seni antarabangsa apabila terpilih menyertai program residensi berprestij di Cité Internationale des Arts, Paris yang bermula pada Mei lalu.

Program residensi anjuran United Overseas Bank (UOB) bersama Nanyang Academy of Fine Arts (NAFA), Singapura diadakan hingga penghujung bulan ini, memberi peluang kepada Umibaizurah untuk berkarya dan berkolaborasi dengan lebih 300 artis dari seluruh dunia dalam suasana kreatif yang dinamik.

Sepanjang tempoh itu, beliau mengambil bahagian dalam pelbagai program dan acara seni anjuran pihak residensi termasuk sesi perbincangan seni (art talks), bengkel interaktif, lawatan studio dan muzium serta program jalinan kerjasama rentas disiplin bersama artis antarabangsa.

Malah, pada 28 Mei lalu, Umibaizurah yang menjadi satu-satunya wakil dari negara ke program residensi itu diberi peluang menyertai program Sesi Studio Terbuka bertajuk The Moving Lab: Jardin, di mana beliau mempamerkan proses kreatif serta hasil karya sepanjang tempoh residensi kepada komuniti seni antarabangsa dan khalayak umum.

Acara berkenaan menjadi platform penting untuk beliau berkongsi naratif dan pendekatan artistik serta menerima maklum balas secara langsung daripada penggiat seni global.

Pembabitan Umibaizurah dalam program ini adalah kesinambungan kejayaannya meraih Anugerah Gangsa bagi kategori Artis Mapan tahun 2023 di pertandingan UOB Painting of the Year (Malaysia) ) ke-13 menerusi karyanya bertajuk Uncharted Realm.

Anugerah itu antara pengiktirafan seni paling berprestij di Asia Tenggara, yang bertujuan menyokong dan memupuk bakat seni serantau sejak diperkenalkan di Malaysia pada 2011.

Umibaizurah dikenali dengan pendekatan multidisiplin yang merangkumi arca, lukisan dan instalasi. Karyanya sering menyorot hubungan kompleks antara manusia, haiwan dan alam semula jadi, dengan penekanan terhadap keseimbangan ekologi dan kesan aktiviti moden terhadap persekitaran.

Pada masa sama, Umibaizurah berkata, penyertaannya dalam residensi di Paris bukan sahaja mencerminkan pengiktirafan terhadap kualiti dan komitmen seninya, malah memperluas jangkauan wacana serta karya ke peringkat global, selaras dengan matlamat UOB dalam memartabatkan seni dan budaya serantau di pentas dunia.

“Penyertaan dalam program berprestij itu dapat memperluas horizon pemikiran saya dalam konteks yang lebih besar.

“Saya juga ingin meneroka perspektif baharu dalam proses penciptaan karya seni sendiri dalam suasana budaya yang berbeza dan dinamik seperti di Paris, selain mengembangkan rangkaian sesama artis dalam bidang ini untuk peluang yang mendatang,” katanya.

Beliau percaya dalam konteks residensi ini, pengalaman residensi di Paris, sebuah kota yang kaya dengan sejarah, budaya dan wacana seni global, akan memberi nilai tambah yang baik dalam pendekatannya terhadap penciptaan karya seni, mahupun pemikirannya sebagai artis.

“Saya boleh mendapat peluang untuk meneliti ekosistem seni yang teguh seperti di Paris. Kali ini, bukan sekadar pemerhati luar, tetapi dapat merasai sendiri ‘dinamika’ nadi sebenar ekosistem di negara ini melalui pendekatan ‘immersif’ dan dialog (menghadiri bengkel, perbincangan seni, pameran dan aktiviti seni masyarakat tempatan) di sini,” katanya.

Secara peribadi, beliau melihat penerimaan daripada khalayak terhadap karya-karya yang diusahakannya di sini sangat menggalakkan dan membina.

“Mereka datang dengan perspektif yang segar, penuh minat dan keinginan untuk memahami konteks pemikiran serta budaya yang berbeza. Sifat ingin tahu mereka terhadap naratif Asia Tenggara khususnya Malaysia sangat tinggi.

“Penerimaan ini menjadi satu bentuk validasi penting yang mendorong saya untuk terus berkarya dengan lebih tekun dan berani meneroka pendekatan baharu yang keluar dari kebiasaan.

“Lebih penting, perbualan dan pertukaran idea bersama rakan artis serta penggiat seni dari pelbagai latar membuka mata saya terhadap pelbagai gaya serta pendekatan seni yang berbeza. Ia juga memperkukuhkan keyakinan saya untuk terus berkembang dalam bidang ini dan mengangkat seni Malaysia ke peringkat global,” katanya.

Tambahnya, untuk dijemput ke program residensi seni bukanlah sesuatu mudah kerana setiap artis itu perlu bekerja keras membina profil, menghasilkan karya yang konsisten dan bermakna serta aktif dalam komuniti seni.

Ia memerlukan usaha berterusan dalam setiap kepelbagaian. Ini kerana apabila berpeluang dijemput ia menjadi satu pengiktirafan yang sangat bermakna.

“Saya sendiri bermula tahun 2004, menyertai banyak program residensi dan bengkel seni di luar negara seperti Thailand, Jepun serta Korea.

“Dalam kebanyakan penyertaan saya ke program residensi atau bengkel seni di luar negara adalah atas jemputan rasmi. Ini bermaksud segala kos sama ada sepenuhnya atau sebahagiannya ditanggung pihak penganjur atau melalui dana khas,” katanya.

Beliau berharap, program residensi ini dapat memperluaskan pemahaman dan pengalamannya dalam praktik seni, khususnya dalam konteks budaya dan komuniti yang berbeza.

“Saya selalu memanfaatkan ruang ini untuk bereksperimen, mendorong sempadan kreativiti agar berupaya mencapai sesuatu pembaharuan, selain mengukur kemampuan dan ketahanan diri saya bila berada di ruang yang segalanya baru dan berbeza.

“Sebagai artis saya percaya bahawa seni bukan sekadar penghasilan karya dan diakhiri dengan pameran, tetapi juga medium untuk membina dialog dan kesedaran.

“Maka saya berharap segala yang dipelajari dan dialami sepanjang program ini dapat memberi manfaat jangka panjang kepada kerjaya seni saya sendiri, malah turut sama dapat membantu membina ekosistem seni kita di Malaysia dengan lebih baik lagi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top