Geneva: Krisis kesihatan di Tebing Barat yang diduduki semakin meruncing dengan sekatan akses kepada rawatan yang semakin meningkat, serangan ke atas perkhidmatan perubatan serta kekurangan bekalan yang kritikal, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Jumaat, lapor Anadolu Ajansi.
Daripada 559 kemudahan kesihatan yang dinilai WHO pada Jun, 71 menghadapi masalah akses separa akibat ketidaktentuan keselamatan dan halangan fizikal, kata jurucakap WHO bagi Wilayah Palestin yang diduduki, Richard Peeperkorn.
Beliau memberi amaran bahawa sekatan jalan baharu, kelewatan di pusat pemeriksaan dan penolakan permit menghalang akses pesakit dan ambulans, terutamanya di Jenin, Hebron, Nablus dan Salfit.
Sejak Oktober 2023, WHO merekodkan 844 serangan ke atas kemudahan kesihatan di Tebing Barat, mengakibatkan 31 kematian dan 168 kecederaan.
“Serangan ini termasuk ke atas infrastruktur kesihatan dan ambulans, penahanan petugas dan pesakit, halangan akses ke fasiliti kesihatan, penggunaan kekerasan terhadap petugas kesihatan, dan menenterakan pemeriksaan ke atas ambulans serta kakitangan,” katanya.
Hanya 345 daripada 476 unit kesihatan kerajaan yang masih beroperasi sepenuhnya. WHO memaklumkan terdapat kekurangan kakitangan akibat gaji yang tidak dibayar serta tahap stok hampir sifar bagi barangan penting.
Menurut Kementerian Kesihatan, 16 peratus daripada jumlah keseluruhan ubat penting, 14 peratus bahan guna habis perubatan dan sembilan peratus bekalan makmal kini kehabisan stok, katanya.
Sementara itu, di Gaza, jurucakap WHO berkata pihaknya telah melakukan penghantaran perubatan pertama sejak Mac pada 25 Jun dengan sembilan trak membawa bekalan darah, plasma dan barangan lain.
“Ia hanyalah bak setitis ke dalam lautan. Bantuan berskala besar amat penting untuk menyelamatkan nyawa,” kata Luca Pigozzi dari WHO Gaza, sambil menggesa penghantaran bantuan kesihatan “segera, tanpa halangan dan berterusan ke Gaza melalui semua laluan yang mungkin.”
Pasukan Perubatan Kecemasan telah menjalankan hampir tiga juta konsultasi sejak Disember 2023 namun kini berdepan sekatan serius termasuk penafian kemasukan dan sekatan bekalan, menurut WHO.
© New Straits Times Press (M) Bhd