Denpasar: Keindahan Pulau Bali kini dicemari lambakan sampah selepas tapak pelupusan terbesar di pulau peranginan terkenal itu ditutup untuk sisa organik bermula April lalu.
Keadaan itu menyebabkan timbunan sampah mula memenuhi jalan raya dan menarik kehadiran tikus,
Selain itu, sampah dibakar penduduk sehingga menghasilkan asap tebal yang mencetuskan kebimbangan kesihatan.
Penjual bunga di tepi jalan, Yuvita Anggi Prinanda berkata, bau busuk sampah yang semakin menimbun turut menjejaskan perniagaannya.
Menurut wanita berusia 34 tahun itu, dia terpaksa menggunakan wang keuntungan sendiri untuk membayar syarikat swasta bagi membersihkan sampah berhampiran gerainya.
“Mungkin kerana terganggu dengan bau busuk, ada pelanggan yang akhirnya tidak jadi membeli,” katanya.
Menurutnya, gerainya sahaja menghasilkan kira-kira empat beg besar sampah setiap hari, kebanyakannya terdiri daripada daun dan potongan bunga.
Kerajaan Indonesia sebelum ini melarang penggunaan tapak pelupusan terbuka sejak 2013, namun penguatkuasaan secara menyeluruh hanya mula dilakukan tahun ini.
Di Pantai Kuta, antara lokasi pelancongan popular di Bali, longgokan beg sampah dilihat memenuhi kawasan parkir sehingga paras pinggang individu dewasa.
Pelancong dari Australia, Justin Butcher berkata, kawasan itu turut dipenuhi tikus pada waktu malam, selain mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan.
Tahun lalu, kira-kira tujuh juta pelancong mengunjungi Bali, jauh melebihi jumlah penduduk asal pulau itu yang dianggarkan kira-kira 4.4 juta orang.
Susulan masalah itu, ratusan pekerja pembersihan mengadakan protes pada 16 April lalu dengan membawa lori sarat sampah ke pejabat gabenor.
Mereka mendakwa tidak mempunyai lokasi sesuai untuk melupuskan sampah selepas penutupan tapak pelupusan utama Suwung.
Sebagai langkah sementara, kerajaan tempatan membenarkan pelupusan terhad di tapak berkenaan sehingga hujung Julai ini.
Bagaimanapun, bermula Ogos depan, Kerajaan Indonesia bertegas mahu menamatkan semua tapak pelupusan terbuka di seluruh negara.
Pakar pengurusan sisa dari Universiti Gadjah Mada, Nur Azizah berkata, tapak pelupusan Suwung menerima kira-kira 1,000 tan sampah sehari dan sudah lama melebihi kapasiti.
Menurutnya, sehingga 70 peratus daripada sisa itu adalah bahan organik yang boleh menghasilkan gas metana berbahaya dan berisiko mencetuskan letupan serta tanah runtuh.
Katanya, penyelesaian jangka panjang adalah mendidik masyarakat menguruskan sisa organik melalui kaedah seperti pengomposan.
Kerajaan tempatan pula memaklumkan kempen kesedaran serta pengagihan bekas kompos sudah dijalankan sejak tahun lalu.
Secara keseluruhan, 284 juta penduduk Indonesia menghasilkan lebih 40 juta tan sampah setiap tahun, dengan hampir 40 peratus daripadanya sisa makanan dan hampir satu perlima pula adalah sisa plastik.
© New Straits Times Press (M) Bhd



