Kritik titah Sultan Selangor: Pemuda Pas persoal pendirian Suee Lim

Kritik titah Sultan Selangor: Pemuda Pas persoal pendirian Suee Lim
Kritik titah Sultan Selangor: Pemuda Pas persoal pendirian Suee Lim

Mohamed Sukri mempersoalkan pendirian Suee Lim susulan kontroversi melibatkan pemimpin politik yang didakwa mengkritik titah Sultan Selangor.

SHAH ALAM – Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar mempersoalkan pendirian Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim susulan kontroversi melibatkan pemimpin politik yang didakwa mengkritik titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Beliau berkata, Suee Lim sepatutnya tampil mengeluarkan kenyataan mempertahankan institusi diraja serta menunjukkan pendirian yang jelas terhadap tindakan ADUN Seri Kembangan, Wong Siew Ki selain bekas pemimpin DAP, Tony Pua dan Ronnie Liu.

Menurutnya, gelaran ‘Datuk’ yang diterima bukan sekadar untuk ditulis di hadapan nama, sebaliknya lambang penghormatan dan pengiktirafan daripada institusi diraja negeri.

“Bila institusi yang menganugerahkan darjah kebesaran diasak dan dipersoalkan secara terbuka, sekurang-kurangnya tampilkan pendirian yang jelas dan bermaruah.

“Kalau benar hormat kepada Raja Berperlembagaan, inilah waktunya tunjukkan kesetiaan kepada institusi negeri bukan sekadar diam membisu melihat penghinaan demi penghinaan berlaku,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mohamed Sukri berkata, rakyat sedang memerhati sikap pemimpin yang menerima anugerah kebesaran tetapi didakwa gagal mempertahankan kehormatan institusi yang menganugerahkannya.

“Jangan sampai rakyat melihat ada pihak hanya selesa menerima anugerah, tetapi terlalu sukar mempertahankan kehormatan institusi yang menganugerahkannya,” tambah beliau.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan, Sultan Selangor menyarankan Siew Ki dan bekas Exco Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew hadir seminggu sekali ke Dataran Selangor bagi menghayati prinsip Rukun Negara serta memahami kepentingan menghormati Institusi Raja dan menjaga adab kesopanan.

Baginda bertitah, langkah itu penting agar semua pihak khususnya pemimpin politik memahami nilai asas yang menjadi tunjang perpaduan dan keharmonian negara.

Scroll to Top