Bournemouth: Bintang muda Bournemouth, Eli Junior Kroupi mungkin sudah melupakan permulaan sukar dalam Liga Perdana Inggeris, namun pemain berusia 19 tahun itu mengakui dia perlu bekerja keras untuk memastikan kariernya berjaya di England.
Anak kelahiran Brittany yang juga penyokong Liverpool sejak kecil itu membuat debut bersama Bournemouth pada aksi pembukaan musim di Anfield menentang juara bertahan Ogos lalu.
“Saya rasa macam budak yang tengah mimpi,” kata Kroupi.
“Ia pengalaman yang luar biasa untuk saya, dan juga untuk ibu bapa saya.”
Namun debutnya cuma seminit sebagai pemain gantian, dan pengurus Andoni Iraola memberikannya hanya 11 minit lagi dalam empat perlawanan berikutnya. Tekanan itu membuatkan Kroupi mengakui dia ‘sempat terfikir untuk meninggalkan pasukan’.
Perbualan bersama bapanya, bekas pemain Ivory Coast, Eli Kroupi mengubah pendirian remaja itu.
“Lari daripada masalah bukan penyelesaian,” katanya.
“Bapa suruh saya kekal dan bekerja dua kali lebih keras.”
Sebulan kemudian, Kroupi meledak empat gol dalam tiga perlawanan menentang Leeds, Crystal Palace dan Nottingham Forest.
“Saya berjaya ubah keadaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




