KRU Kembalikan Genre Muzik R&B 90-an Dalam Single Terkini Berjudul ‘One More Time’

KRU Kembalikan Genre Muzik R&B 90-an Dalam Single Terkini Berjudul ‘One More Time’

KRU meneruskan legasi muzik mereka sebagai penyanyi, komposer dan penerbit tersohor tanah air dengan pelancaran single kedua dari album Kaset berjudul ‘One More Time’.

Lagu ini disampaikan dengan penuh emosi oleh KRU membuktikan kematangan Datuk Norman Abdul Halim, Datuk Yusry Abdul Halim dan Edry Abdul Halim bagi penyampaian vokal dalam sesebuah lagu.

‘One More Time’ merupakan ciptaan sepenuhnya oleh Norman, Yusry dan Edry yang mengekalkan genre muzik R&B KRU era 90-an yang masih menyengat sehingga kini.

Lagu ini mengisahkan kekecewaan seorang insan yang sekali lagi gagal dalam percintaan dan hanya mampu bergembira dalam kesedihan melihat bekas kekasihnya hidup bahagia dengan orang lain.

KRU juga meneruskan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk kembar digital (Digital Twin) mereka dalam video muzik ‘One More Time’. Menariknya, melalui video muzik ini peminat berpeluang menyaksikan transformasi wajah KRU dari masa lalu, kini dan masa depan, memberikan pengalaman emosi yang unik.

Sebelum ini, KRU telah mengeluar single pertama dari album Kaset berjudul ‘Voodoo’. Single terbabit telah mendapat sambutan luar biasa bukan sahaja di Malaysia, tetapi turut mendapat sambutan hangat dari negara-negara seperti Singapura, Brunei, Indonesia, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Muzik video ‘Voodoo’ di YouTube telah mencecah lebih 1.2 juta tontonan dalam tempoh singkat dan telah berjaya memikat pengikut baru KRU daripada generasi Alpha.

“Sememangnya ini merupakan tradisi KRU mengeluarkan lagu balada selepas single pertama yang rancak. Ramai peminat kami menantikan lagu ‘One More Time’.

“Kami berharap lagu ini akan mendapat sambutan baik dari peminat sekaligus mengekalkan momentum pemasaran album ‘Kaset’ apabila dikeluarkan tidak lama lagi,” ujar Norman mewakili KRU.

‘One More Time’ boleh didengari di semua platform penstriman digital seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, dan YouTube Music mulai 17 Januari 2025.

Scroll to Top