najiy.jefri@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon Scha Elinnea menepis dakwaan dirinya ‘dibela’ oleh individu berstatus VIP, susulan spekulasi mengenai kehidupannya yang dilihat mewah.
Menurut Scha, atau nama sebenarnya Nur Azleen Natasha Mohamed Mubeen, segala pencapaian dinikmati hari ini adalah hasil usaha gigih dan kerja kerasnya sendiri sepanjang bergelar anak seni.
“Tiada apa yang perlu saya jelaskan. Dakwaan seperti ini sudah lama timbul, tetapi ia sama sekali tidak benar. Siapa yang mengenali saya, pasti tahu siapa saya sebenarnya.
“Alhamdulillah, hingga ke hari ini, saya tidak pernah terlibat dalam perkara sebegitu. Saya hanya sibuk bekerja dan tidak pernah terlintas untuk bergantung kepada sesiapa.
“Apa yang saya miliki sekarang adalah hasil kerja keras saya sendiri serta sokongan tanpa henti daripada keluarga. Alhamdulillah,” katanya.
Ditanya mengenai reaksi keluarganya terhadap dakwaan itu, Scha bersyukur kerana mempunyai keluarga yang memahami dan mempercayainya.
“Mereka memang percaya seratus peratus dan tahu saya tidak akan buat perkara yang bukan-bukan. Malah, mereka juga kerap bertanya tentang aktiviti saya.
“Sebagai anak, takkanlah saya sanggup memberikan duit daripada sumber haram kepada ibu bapa sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, Scha berkata dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya tuduhan seperti ini masih berterusan.
“Setakat ini, tiada orang yang mempertikaikan kerja keras saya. Mungkin mereka pun nampak saya sibuk bekerja. Kalau cuti sekalipun, saya akan sibuk dengan kempen-kempen promosi atau hadiri majlis.
“Kalau saya mengambil cuti panjang, itu merupakan waktu saya berehat setelah sekian lama bekerja. Sudah tentu saya juga mahu pergi bercuti untuk tenangkan diri,” katanya.
Tambahnya, dia juga tidak mampu berbuat apa-apa apabila ada pihak kurang senang dengan kehidupan dilalui.
“Tidak kisahlah bagaimana rupa paras kita, kalau orang tak suka kita, kita tak boleh nak buat apa. Jadi, buat sahaja apa yang kita suka dan gembirakan diri sendiri.
“Jangan terlampau fikir apa yang orang nak cakap fasal kita. Nanti kita tak mampu nak menikmati hidup sepuasnya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




