mahaizura@mediaprima.com.my
Shah Alam: Pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) mencerminkan anjakan besar dalam pembangunan semula bandar yang meletakkan penanda aras baharu dalam reka bentuk, pembinaan dan tadbir urus ruang awam secara inklusif untuk manfaat semua tanpa meminggirkan kelestarian alam sekitar.
Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, selari dengan agenda masa depan, pelan pembangunan Selangor perlu mengadaptasi penyelesaian lestari menggabungkan biodiversiti dengan infrastruktur sekali gus menjadi rujukan pada masa depan.
Titah baginda, pembangunan KSSA mengadaptasi sepenuhnya prinsip ini sekali gus membuka lembaran baharu dalam pembangunan bandar lebih mampan.
“Taman KSSA menjadi hab komuniti dan komponen utama dalam keseluruhan pembangunan KSSA, yang menyaksikan buat julung kalinya pelaksanaan pemulihan ekologi secara besar-besaran melalui pendekatan berasaskan alam semula jadi.
“Di bawah kompleks ini, ada sistem mitigasi banjir bawah tanah serba canggih dan automatik termasuk sebuah kolam tadahan banjir seluas empat hektar bagi menguruskan air hujan dan mengurangkan risiko banjir di kawasan berisiko banjir di Shah Alam,” titah baginda pada majlis penyerahan Surat Setuju Terima Bagi Pembangunan KSSA antara Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan Lembaran Prospek Sdn Bhd (LPSB), di sini, hari ini.
Surat Setuju Terima itu diserahkan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI, Datuk Ts Saipolyazan M Yusop kepada Pengarah Urusan Kumpulan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) Datuk Imran Salim yang mewakili LPSB.
Penyerahan berkenaan disaksikan Tengku Amir Shah yang berkenan mencemar duli ke majlis berkenaan.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.
Titah baginda, taman-taman KSSA juga menjadi komponen penting dalam pelan mitigasi banjir di Seksyen 13 Shah Alam, di sini, di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor.
“Ia akan menggabungkan elemen pengurusan air hujan, pemulihan ekologi, pembangunan semula bandar dan amalan air lestari.
“Pendekatan seumpama ini bukan saja mesra alam dan menjimatkan kos, tetapi juga membawa manfaat jangka panjang dari segi ekonomi dan kelestarian selari dengan objektif rangka kerja alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) semasa dan menggalakkan penggunaan tanah yang cekap.
“Melangkaui pembaharuan infrastruktur konvensional, inisiatif ini menggambarkan komitmen jauh ke hadapan untuk meningkatkan kualiti hidup dan keselesaan jangka panjang Selangor,” titah baginda.
© New Straits Times Press (M) Bhd



