Kuadran Malaysia gagal ke final Piala Dunia ISTAF

Skuad sepak takraw lelaki negara.

IMPIAN mengunung skuad sepak takraw lelaki negara melangkah jauh di Piala Dunia Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) 2022 di Korea Selatan tidak kesampaian apabila tewas kepada musuh tradisi, Thailand dalam aksi separuh akhir acara kuadran, pada Isnin.

Dalam perlawanan di Kompleks Sukan Daejon Hanbat di Daejeon itu, gandingan Haziq Hairul Nizam, Noraizat Nordin, Azlan Alias dan Norfaizzul Razak tewas di tangan skuad Gajah Putih 0-2 (16-21, 17-21) dalam tempoh 50 minit.

Pada perlawanan itu, Thailand unggul mendominasi perlawanan menerusi gandingan mantap Pornthep Tinbangbon, Phutawan Sopa, Rachan Viphan dan Yodsawat Uthaijaronsri yang juga merupakan pemenang pingat emas kuadran Sukan SEA Vietnam di Hanoi, Mei lalu.

Kuadran sepak takraw negara sebelum menghidupkan peluang mara ke separuh akhir acara itu selepas menundukkan Jepun dengan kemenangan straight set.

Bagaimanapun, skuad negara berpeluang menebus kekecewaan itu apabila berdepan Thailand pada Selasa dalam perlawanan akhir acara regu yang membariskan Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Mohammad Azlan Alias dan Amirul Zazwan Amir.

Trio negara itu dijadual membuat perhitungan akhir berdepan Thailand jam 8 pagi waktu Malaysia pada Selasa.

Skuad negara bagi acara regu itu layak ke perlawanan akhir selepas melakar kemenangan ke atas tuan rumah, Korea Selatan, pada saingan separuh akhir