Kualiti imej setanding kelas perdana

Kualiti imej setanding kelas perdana

saufi@mediaprima.com.my

Jenama peranti pintar terkemuka, POCO kembali menerusi pengenalan kepada generasi baharu POCO F7 Ultra.

Ia sebuah peranti yang jelas menunjukkan niat jenama itu untuk melangkah keluar daripada bayangan ‘mid-range gamer phone’ dan memasuki gelanggang flagship killer sebenar.

Menyentuh aspek rekaan, POCO F7 Ultra kini tampil lebih matang dengan rangka logam dan panel belakang kaca yang memberi sensasi premium ketika digenggam.

Skrin Flow AMOLED 6.67 inci WQHD+ (3200×1440) dengan kadar segar semula 120Hz pula menjadikan pengalaman menonton dan menatal begitu lancar.

Tambahan pula, kecerahan puncak setinggi 3200 nits memastikan paparan kekal jelas walaupun di bawah matahari terik, satu kelebihan besar bagi pengguna yang kerap mengambil gambar atau menggunakan navigasi luar bangunan.

Bahagian kamera adalah nadi utama telefon ini.

POCO F7 Ultra hadir dengan sistem tri-kamera yang terdiri daripada sensor utama 50MP dengan OIS, lensa telefoto 50MP untuk zum optikal yang lebih bersih, serta kamera ultra-lebar 32MP yang sesuai merakam landskap atau ruang sempit.

Hasil gambar waktu siang menunjukkan ketajaman dan warna yang lebih natural, manakala prestasi malam pula lebih stabil dengan penindasan noise lebih kemas.

Menerusi pemprosesan imej baharu, mod potret dan mod malam kini kelihatan lebih profesional, menjadikannya pilihan sesuai untuk penyedia kandungan.

POCO F7 Ultra dikuasakan cip Qualcomm Snapdragon 8 Elite berasaskan 3nm cip kelas tertinggi yang sebelum ini hanya ditemui pada flagship premium.

Ia memberikan prestasi pantas untuk gaming berat seperti Honkai: Star Rail atau COD Mobile dengan kadar bingkai stabil dan suhu lebih terurus berkat sistem penyejukan dalaman yang dinaik taraf.

Sokongan RAM sehingga 16GB LPDDR5X dan storan UFS 4.1 menjadikan multitasking lebih responsif.

Bateri 5300mAh memberikan ketahanan seharian walaupun dengan penggunaan kamera dan paparan resolusi tinggi.

Lebih menarik, pengecasan pantas 120W membolehkan bateri diisi dari kosong ke lebih 50 peratus dalam sekitar 15 minit.

Telefon ini juga menyokong pengecasan tanpa wayar 50W, sesuatu yang jarang ditawarkan dalam kelas harga yang sama.

Secara keseluruhan, POCO F7 Ultra hadir sebagai salah satu peranti paling berbaloi membawa pakej kelas perdana pada harga lebih rendah daripada kebanyakan pesaing premium.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top