Kuari Pasir Puteh paling aktif guna lori bawa lebih muatan

Kuari Pasir Puteh paling aktif guna lori bawa lebih muatan

nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan menjalankan pemeriksaan terhadap 7,472 kenderaan perdagangan sejak 14 Oktober hingga Khamis lalu menerusi Ops Perang Lebih Muatan.

Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah, berkata daripada jumlah kenderaan diperiksa, sebanyak 2,682 kenderaan yang diambil tindakan dengan kebanyakannya lori.

Katanya, lima kenderaan disita iaitu membawa barangan muatan melebihi 50 peratus.

“Hasil siasatan kita mendapati kebanyakan kenderaan perdagangan ini membawa muatan batu dan pasir. Kita juga mengenal pasti kawasan kuari di Pasir Puteh paling aktif dengan kenderaan lori yang membawa muatan berlebihan.

“Bagaimanapun ketika operasi dijalankan, kebanyakan pemandu lori ini tidak agresif dan memberi kerjasama kepada JPJ.

“Operasi ini akan diteruskan sehingga 31 Disember ini dan kita sentiasa mengingatkan kenderaan perdagangan terutama lori supaya tidak membawa muatan berlebihan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Katanya, tujuan utama ops berkenaan dilaksanakan bukan semata-mata untuk memerangi penggiat industri yang berkaitan untuk menjalankan aktiviti atau perniagaan mereka, sebaliknya menitikberatkan kelestarian dan keselamatan pengguna jalan raya yang lain termasuk pemandu lori itu sendiri.

Dalam perkembangan lain berhubung tawaran kompaun 50 peratus saman, Mohd Misuari berkata, pihaknya berjaya mengutip kompaun sebanyak RM9.2 juta dari Januari sehingga Khamis lalu.

“Tawaran kompaun ini berakhir 31 Disember ini dan kita mengalu-alukan orang ramai mengambil peluang untuk membayar saman,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top