Kucing 'bangsawan', Evian, juara Cat Fashion Week

Kucing 'bangsawan', Evian, juara Cat Fashion Week

farihad@bh.com.my

Kuala Lumpur: Tampil penuh anggun dengan konsep Royalty lengkap bersama mahkota, kucing jantan baka Ragdoll, Evian, bersama pemiliknya, Nor Anis Halyatie Halim, dinobatkan juara pertandingan Cat Fashion Week yang berlangsung di Pavilion Damansara Heights, di sini, malam tadi.

Kemenangan itu melayakkan mereka membawa pulang wang tunai RM5,000 berserta trofi selepas Evian memikat hati juri dengan pesona bak raja di singgahsana.

Mengulas kejayaannya, Anis mengakui tidak menyangka kemenangan berpihak kepadanya kerana penyertaan kali pertama itu hanya sekadar suka-suka.

“Tak sangka langsung boleh menang. Mula-mula sertai pun hanya untuk seronok-seronok, tapi tak sangka rezeki Evian besar malam ini,” katanya.

Berbalut jubah baldu rona biru gelap yang diilhamkan daripada warna mata Evian, rekaan kostum berhiaskan manik emas menyerlahkan aura diraja yang sekaligus melengkapkan karakter tegas si bulus comel itu.

Naib juara dengan hadiah RM3,000 menjadi milik Juny, si ratu gebu yang menyerlah dengan gaun merah mewah jahitan tangan suami pemiliknya, Nur Farahin Zakaria.

Tempat ketiga pula diraih Chibbu bersama pemiliknya, Sharifah Nurulawwal Sayed Abd Rahman, menerusi persembahan bertema Mesir Purba, manakala anugerah khas, FELIX – Si Bulus Paling Memikat, menjadi milik Goyem kepunyaan Siti Rohani Abdul Hamid.

Selain itu, beberapa finalis lain turut memeriahkan pentas akhir termasuk Zakry Shazryl (Winter), Siti Khadijah Hassan (Mocha), Nurmayani Asmuni (Kristoff) dan Nurul Izzah Ramli (Omey).

Malam penuh gaya itu turut diserikan persembahan nyanyian oleh Shiha Zikir dan penyanyi rap kumpulan De Fam, Sophia Liana, yang mempersembahkan single terbaharunya berjudul SUS.

Barisan juri pula terdiri daripada pereka fesyen tersohor, Rizman Nordin; pengasas MJMA Academy, Mohd Jeffrey Mohamad Ali; selain selebriti dan pencinta kucing, Mark Adam serta Shiha Zikir. Majlis dikemudikan oleh Sissy Imann dan Fiza Frizzy selaku pengacara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top