redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Ada yang pandang saya atas bawah bila beritahu nak masuk pertandingan itu.
“Mungkin mereka fikir saya tak sedar diri tapi saya cuba juga ambil bahagian. Tak sangka sampai ke pusingan akhir dan anggap itu pun satu pencapaian yang besar,” kata orang kurang upaya (OKU) fizikal, Ambrose Edau Enjat.
Ambrose, 31, yang berasal dari Kapit, Sarawak kudung tangan kanan sejak 2013 selepas anggota badannya itu termasuk dalam mesin pengisar daging ketika bekerja sambilan di sebuah kilang.
Bagaimanapun, bekas atlet berbasikal paralimpik negara itu membuktikan keberaniannya dengan mengambil bahagian dalam kejohanan badan cantik, Mr Kuala Lumpur 2025 baru-baru ini dan menjadi peserta tunggal berstatus OKU yang tampil beraksi di atas pentas.
Biarpun julung kali mengambil bahagian dalam kejohanan itu dan tidak merangkul gelaran juara, Ambrose melepasi saringan hingga mendapat tempat kelima dalam kategori ‘Men Physique’ bawah 170 sentimeter.
Berkongsi kisahnya, Ambrose berkata, pada awalnya dia tidak yakin dengan kemampuannya menyertai pertandingan itu sekali gus bersaing dengan peserta jauh lebih hebat serta sempurna bentuk badan.
Bagaimanapun, katanya, dia nekad teruskan kerana niatnya hanya mahu cari pengalaman dan tidak sangka dirinya boleh tersenarai dalam kelompok lima terbaik.
“Saya pun tertanya dan ragu-ragu nak masuk (pertandingan) tapi cuba masuk kerana dalam syarat pertandingan, tiada dinyatakan OKU tak boleh turut serta.
“Kiranya, saya tak fikir nak menang atau dapat tempat pun dalam kejohanan itu kerana hanya nak merasai pengalaman serta merealisasikan impian.
“Waktu di atas pentas, saya tak fikir saya OKU tapi anggap diri macam mereka supaya tak patah semangat dan untuk jadi lebih yakin.
“Tak sangka pula lepas sampai kelompok lima terbaik dan anggap itu pengalaman yang cukup manis kerana kerana bukan senang serta gembira juga sebab menerima anugerah khas daripada penganjur,” katanya ketika ditemui Harian Metro di Taman Shamelin Perkasa, di sini, semalam.
Menurutnya, penyertaannya itu adalah permulaan kerana mahu turut serta dalam lebih banyak kejohanan badan cantik.
Justeru, dia mahu terus konsisten dengan latihan kecergasan dan rutin diet serta berterima kasih kepada jurulatih, Muhammad Afiq Afify Rizan, 29, yang juga OKU penglihatan kerana banyak memberinya tunjuk ajar.
“Sebenarnya sejak kecil lagi saya sudah minat dengan sukan bina badan cuma tak tahu macam mana cara dan jalan nak menceburinya.
“Sehingga satu hari dalam tahun 2021, kawan saya hubungi dan ajak berlatih di pusat gimnasium, dia yang banyak ajar dan turut jadi jurulatih.
“Tak susah pun sebab waktu aktif dalam sukan berbasikal dulu pun selalu ke gimnasium, cuma tak fokus dapatkan badan cantik. Tapi yang mencabarnya adalah nak jaga makan dan mental kerana bukan semua orang faham,” katanya yang membuat persiapan sejak Februari lalu bagi mengambil bahagian dalam Mr Kuala Lumpur 2025.
Ambrose berkata, dia enggan lagi menoleh ke belakang kerana mahu mencipta lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.
“Terima kasih kepada keluarga kerana banyak beri sokongan dan tak pernah halang minat saya, begitu juga isteri (Goh Ai Ling, 29).
“Walaupun ada kekurangan, saya nak pergi lebih jauh dalam bidang ini dan kalau boleh nak jadi jurulatih satu hari nanti,” katanya yang konsisten menjalani rutin kecergasan di pusat gimnasium selama lima hari dalam seminggu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




