Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) meraikan rakan media, pempengaruh serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) Orang Asli menerusi Majlis Ramah Mesra Media, Pempengaruh dan NGO Orang Asli yang berlangsung di The Pearl Hotel, Kuala Lumpur pada 8 Mei lalu.

Penyampaian Anugerah Penghargaan kepada media
Majlis julung kali dianjurkan itu bertujuan memperkenalkan barisan pengurusan JAKOA selain memperkukuhkan kerjasama strategik antara media, pempengaruh dan NGO dalam memperkasakan agenda pembangunan masyarakat Orang Asli.
Acara tersebut turut diserikan dengan penyampaian Anugerah Penghargaan Media kepada beberapa penerima termasuk program Apa Khabar Malaysia, BERNAMA bagi kategori televisyen dan ASYIKfm, RTM bagi kategori radio.

Portal Oh My Media pula menerima Anugerah Penghargaan Media bagi kategori portal, manakala wartawan Media Prima Negeri Kelantan, Puan Siti Nor Akmaliah binti Razak menerima Anugerah Penghargaan Wartawan Cakna.

Ketua Pengarah JAKOA, Muhammad Akmal Ila Ahmad dalam ucapannya menyeru semua pihak untuk terus membantu Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta JAKOA dalam menyalurkan maklumat yang tepat kepada masyarakat.
Beliau turut percaya kerjasama erat antara media, pempengaruh dan NGO mampu memberi impak besar dalam memperkasakan pembangunan serta kesejahteraan masyarakat Orang Asli secara menyeluruh.




