BAGAN DATUK: Hayat politik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijangka tidak panjang berikutan kemelut yang melanda parti itu apabila memecat dan menggantung pemimpin mereka.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, nasib parti itu bakal dapat dilihat dalam masa terdekat selepas mengenakan tindakan disiplin terhadap enam pemimpin mereka yang dipecat dan digantung keahlian semalam.
“Saya mengucapkan selamat berjaya kepada mereka dan kepada kepimpinan parti berkenaan.
“Saya tidak berhajat untuk campur tangan dalam hal ehwal parti serpihan daripada UMNO ini dan dari dahulu saya menyatakan bahawa hayat politik parti itu tidak akan panjang.
“Kita akan lihat dalam waktu yang terdekat apakah nasib yang akan menimpa mereka,” katanya,
Beliau berkata kepada pemberita pada Majlis Peluncuran Mara Prihatin 2026 Peringkat Kebangsaan di Politeknik Maritim Sultan Nazrin Shah di sini hari ini.
Mengenai kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki parti itu terbuka untuk menerima pimpinan dan ahli Bersatu yang dipecat atau digantung, Ahmad Zahid berkata, UMNO sedia mempertimbangkan perkara itu jika ada permohonan.
“Kita terbuka kerana sebagai parti politik yang menaungi rumah bangsa, kita mempunyai dasar yang terbuka.
“Kita berlapang dada dan berfikiran terbuka juga untuk menerima sesiapa sahaja di kalangan orang Melayu, orang Islam yang mahu menyertai rumah bangsa yang telah mula mendapat sambutan luar biasa daripada mereka yang berminat,” katanya.
Semalam, Bersatu mengambil tindakan disiplin terhadap enam pemimpinnya termasuk memecat dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan menggantung keahlian empat lagi pemimpin parti berkuat kuasa serta-merta.
Menerusi notis dikeluarkan Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan, ADUN Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani dan ADUN Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis dipecat daripada parti itu.
Selain itu, empat lagi pemimpin Bersatu digantung hak keahlian selama dua penggal pemilihan parti iaitu ADUN Chenderoh, Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zain; Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Ahli Parlimen Rompin, Datuk Khalib Abdullah dan Ahli Parlimen Lumut, Nordin Ahmad Ismail.
Menurut notis berkenaan, penggantungan itu turut menyebabkan ketiga-tiga mereka dilucutkan daripada semua jawatan yang dipegang dalam parti dan tidak dibenarkan mengeluarkan sebarang kenyataan atas nama Bersatu sepanjang tempoh penggantungan. – UTUSAN




