Kunci 1,448 rumah diserah awal

Kunci 1,448 rumah diserah awal

amir_hamid@mediaprima.com.my

Sepang

Permodalan Negeri Selangor Bhd (PNSB) dengan kerjasama MGB Bhd (MGB), anak syarikat LBS Bina Group Bhd (LBS) menyerahkan 1,448 unit kediaman mampu milik projek Rumah Idaman Melur kepada pemilik.

Projek menerusi kerjasama PNSB, anak syarikat milik penuh Kerajaan Selangor di bawah seliaan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) di Cybersouth itu siap dan diserahkan lebih awal daripada jadual asal.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Rumah Idaman Melur adalah antara inisiatif utama Kerajaan Selangor dalam merealisasikan agenda perumahan mampu milik untuk rakyat menerusi program Rumah Idaman MBI.

“Kerajaan negeri komited untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat Selangor melalui penyediaan rumah yang selesa, mampu milik dan lengkap dengan peralatan asas,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Idaman Melur di Galeri Jualan KITA @ Cybersouth, Dengkil, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Ir Dr Lim Hock San dan Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim.

Rumah Idaman Melur di Cybersouth adalah pembangunan kedua daripada enam projek Rumah Idaman MBI yang dilaksanakan oleh PNSB bersama MGB.

Projek berkenaan dibangunkan di atas tanah seluas 4.88 hektar dan terdiri daripada dua blok apartmen setinggi 23 tingkat dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM406 juta.

Lokasinya yang strategik, berhampiran lebuh raya utama seperti Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dan Lebuhraya Maju Expressway (MEX), menjadikan projek itu amat ideal bagi mereka yang mencari kediaman berkualiti dalam persekitaran hijau dan harmoni.

Setiap unit yang ditawarkan pada harga bermula RM250,000, menampilkan tiga bilik tidur, dua bilik air, dengan kelengkapan termasuk pendingin hawa, peti sejuk, almari pakaian, kabinet dapur, televisyen (TV), kabinet TV dan pemanas air, menjadikan rumah terbabit benar-benar sedia diduduki.

Sementara itu, Hock San berkata, permintaan untuk Rumah Idaman Melur amat memberangsangkan dan kejayaan penyerahan awal itu mencerminkan komitmen MGB terhadap standard pembinaan berkualiti tinggi.

Malah, katanya, projek berkenaan mencatatkan skor QLASSIC yang cemerlang iaitu sebanyak 79 peratus, menepati piawaian yang ditetapkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), sekali gus menetapkan penanda aras baharu dalam kecemerlangan pembinaan dan menegaskan komitmen LBS terhadap kualiti.

“Kami berbangga dapat bekerjasama dengan Kerajaan Selangor dalam merealisasikan impian ramai memiliki rumah mampu milik berkualiti. Teknologi IBS pratuang yang digunakan, turut diguna pakai di peringkat antarabangsa termasuk dalam projek kami di Jeddah, Arab Saudi. Ini menunjukkan keupayaan kami membina rumah mampu milik tanpa mengorbankan kualiti.

“Hari ini amat bermakna bagi MGB apabila dapat menyerahkan kunci kepada pemilik baharu kediaman Rumah Idaman Melur lebih awal daripada yang dijadualkan, meneruskan kejayaan susulan penyerahan awal projek Idaman BSP pada tahun lalu.

“Pencapaian ini menjadi bukti usaha berterusan kami dalam mengejar kecemerlangan, sekali gus menyokong visi Selangor untuk membina 200,000 rumah mampu milik menjelang 2028,” katanya.

Sementara itu, Raja Ahmad Shahrir berkata, kolaborasi strategik antara PNSB dan MGB bukan sahaja memperluaskan akses kepada perumahan, malah menyampaikan nilai sebenar kepada komuniti melalui reka bentuk mesra pengguna dan kualiti binaan yang tinggi.

“Kerjasama ini selari dengan komitmen kami dalam memperluaskan akses kepada perumahan. Bersama-sama, kami memberi impak yang signifikan dalam usaha menyediakan kediaman mampu milik dan berkualiti tinggi untuk semua,” katanya.

Projek Rumah Idaman MBI yang terdiri daripada enam pembangunan utama membabitkan 7,210 unit rumah mampu milik dibangunkan oleh Konsortium PNSB Construction dan MGB menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS).

Semua unit kediaman direka berkeluasan minimum 1,000 kaki persegi untuk memberikan keselesaan kepada setiap isi rumah.

Inisiatif itu menjadi sebahagian daripada sasaran Kerajaan Selangor untuk membina 200,000 unit rumah mampu milik menjelang 2028, selaras dengan dasar perumahan negeri yang menekankan kesaksamaan, kebolehcapaian dan kemampanan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top