Kuala Lumpur: Jaguh triatlon negara, Teh Kuok Yuen akan mengetuai cabaran Malaysia pada perlumbaan IRONMAN 70.3 Desaru Coast hujung minggu ini dengan misi memperbaiki pencapaiannya ketika penampilan sulung pada edisi pertama, empat tahun lalu.
Atlet berusia 39 tahun itu kembali beraksi di Desaru Coast buat kali pertama sejak 2022 selepas mencipta sejarah muncul atlet Malaysia pertama menamatkan perlumbaan penuh IRONMAN dalam tempoh kurang sembilan jam.
Kuok Yuen melakar pencapaian bersejarah itu pada IRONMAN Copenhagen 2024 apabila merekodkan masa lapan jam 56 minit 42 saat, sekali gus menjadi rakyat Malaysia pertama melepasi penghalang sembilan jam bagi perlumbaan jarak penuh.
Pada penampilan sulung di IRONMAN 70.3 Desaru Coast 2022, dia muncul pelumba Malaysia terpantas apabila menamatkan saingan di tangga ke-16 keseluruhan.
“Saya sentiasa menikmati perlumbaan di Desaru kerana ia lokasi yang sesuai untuk percutian hujung minggu bersama keluarga. Saya amat menyukai laluan perlumbaan pada 2022 dan mahu kembali menguji kemampuan di samping membawa keluarga menikmati suasana tepi pantai,” katanya.
Menurut Kuok Yuen, Desaru Coast mempunyai keunikan tersendiri menerusi gabungan cuaca, laluan dan kemudahan yang memudahkan atlet membuat persiapan sebelum serta selepas perlumbaan.
“Cuaca panas, kelembapan tinggi dan laluan larian yang berbukit menjadikan perlumbaan ini cukup mencabar. Saya juga menyukai kemudahan yang semuanya terletak berhampiran hotel, sekali gus memudahkan urusan atlet,” katanya.
Saingan IRONMAN 70.3 Desaru Coast kali ini menjadi acara kemuncak Festival Multisukan Desaru Coast (DCMF) 2026 yang dijangka menghimpunkan lebih 1,200 atlet dari 60 negara, dengan kira-kira 60 peratus penyertaan membabitkan peserta antarabangsa.
Selain IRONMAN 70.3, festival edisi kelima itu turut mempertandingkan acara 5150, Sprint dan IRONKIDS, sekali gus membuka peluang kepada atlet daripada pelbagai peringkat pengalaman menyertai sukan triatlon.
Kuok Yuen akan mengetuai cabaran negara bersama Shahrom Abdullah yang muncul atlet lelaki Malaysia terpantas pada edisi 2024, manakala Yen Chia sekali lagi menjadi sandaran utama negara dalam kategori wanita selepas muncul pelumba tempatan terpantas tahun lalu.
Sebanyak 50 slot ke Kejohanan Dunia IRONMAN 70.3 2027 di Chattanooga, Tennessee, Amerika Syarikat turut menjadi rebutan, dengan 25 slot diperuntukkan bagi kategori lelaki dan 25 lagi bagi kategori wanita.
© New Straits Times Press (M) Bhd




