am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Kerajaan bakal meningkatkan had kuota petrol bersubsidi BUDI MADANI RON95 (BUDI95) bagi penghantar makanan p-hailing kepada 250 liter bagi membantu meringankan beban pekerja gig di negara ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan membincangkan perkara itu pada mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), Selasa ini.
“Mesyuarat Selasa ini, saya akan bawa dalam mesyuarat, bincang. Sebab dia (pemandu p-hailing) dapat 200 liter sama macam kitalah, RON95 200 liter sahaja.
“Jadi saya kata, nanti saya peringatkan saudara Fahmi (Datuk Fahmi Fadzil), kita cari jalan kalau sekurang-kurangnya naik dah 50 liter, (menjadi) 250 liter,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat di Dewan Terbuka PPR Taman Desa Mutiara, di sini baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, cadangan itu tercetus hasil inisiatif beliau sendiri yang turun padang untuk bertanya dan mendengar keluhan golongan penghantar makanan mengenai kuota sedia ada.
Pada majlis sama, Perdana Menteri turut mengumumkan kelulusan peruntukan segera RM1 juta bagi membiayai kerja baik pulih yang mendesak di kawasan perumahan berkenaan selepas mendengar aduan daripada jawatankuasa penduduk setempat.
Anwar turut mengarahkan pegawainya menyegerakan bantuan membaiki kemudahan tandas rosak di Sekolah Bukit Mutiara selepas perkara itu dibangkitkan warga penduduk.
© New Straits Times Press (M) Bhd




