PRN Johor: Anwar hasrat jumpa Zahid, runding secara baik

PRN Johor: Anwar hasrat jumpa Zahid, runding secara baik
PRN Johor: Anwar hasrat jumpa Zahid, runding secara baik

Anwar ketika hadir pada Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat di Dewan Terbuka Desa Mutiara Tebrau hari ini.

JOHOR BAHRU – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim masih berharap peluang kerjasama antara PH dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dapat diselesaikan dengan baik.

Menurut Anwar, walaupun BN Johor telah memutuskan untuk bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), beliau berharap masih ada perubahan terhadap keputusan tersebut.

Beliau berhasrat untuk bertemu dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi membincangkan perkara itu.

“Saya masih berharap, walaupun pengumuman telah dibuat, saya masih berharap. Saya akan berjumpa Presiden UMNO dan saya akan kata, rundinglah baik-baik, nak rebut apa?

“Di mana silapnya sehingga kita tidak diberi pertolongan? Saya tidak kira, saya tolong semua. Kalau berebut di bawah, nanti bergaduh. Jadi carilah jalan yang baik,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat di Dewan Terbuka Desa Mutiara Tebrau pada Ahad.

Pada Sabtu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan BN akan bertanding di semua 56 kerusi DUN pada PRN Johor.

Menurut Onn Hafiz yang juga Pengerusi BN Johor, keputusan itu dibuat selepas mengambil maklum pandangan rakyat Johor serta suara kepimpinan akar umbi UMNO dan BN Johor mengenai hala tuju parti menjelang pilihan raya tersebut.

Pada PRN 2022, BN memenangi 40 kerusi DUN, PH (12), Perikatan Nasional (tiga) dan MUDA (satu).

Scroll to Top