Pilih bulu? Bukan salah Shila Amzah

Pilih bulu? Bukan salah Shila Amzah

Hangat juga cerita yang sampai ke telinga Cik Bunga minggu ini membabitkan penyanyi terkenal, Shila Amzah. Bukan mengenai lagu baharu atau kisah peribadi, sebaliknya timbul dakwaan kononnya pihak media tidak memberikan sokongan terhadap konsert terbaharunya baru-baru ini.

Menurut cerita yang didengar, ada individu terdekat dengan penyanyi tersebut dikatakan meluahkan rasa kurang senang apabila ramai rakan media tidak hadir ke konsert berkenaan. Malah, timbul juga dakwaan media ‘memilih bulu’ dalam memberikan sokongan kepadanya.

Namun, bagi Cik Bunga, tuduhan seperti itu agak kurang manis untuk didengar.

Setahu Cik Bunga, Shila tidak pernah mempunyai masalah dengan pihak media. Hubungan penyanyi itu dengan pengamal media selama ini juga baik-baik sahaja. Jadi, rasanya tidak timbul isu media sengaja tidak mahu memberi liputan atau sokongan.

Hakikat sebenar yang berlaku mungkin lebih mudah daripada apa yang disangka.

Difahamkan, konsert penyanyi itu berlangsung pada hujung minggu yang sama dengan persembahan penyanyi senior terkenal, Fauziah Latiff. Apabila dua acara hiburan besar berlangsung serentak, sudah tentu ramai pengamal media perlu membuat pilihan berdasarkan tugasan dan kemampuan masing-masing.

Tambahan pula, ramai yang sedia maklum industri media sekarang berdepan kekurangan tenaga kerja. Tidak semua organisasi mempunyai pasukan besar seperti dahulu. Ada wartawan yang bercuti hujung minggu, ada juga yang sudah ditugaskan ke acara lain lebih awal.

Jadi, situasi itu tidak semestinya bermaksud media sengaja meminggirkan mana-mana artis.

Apa yang kurang enak didengar apabila dakwaan seperti ini dikatakan datang daripada orang di sekeliling artis sendiri. Walaupun bukan Shila yang mengeluarkan kenyataan tersebut, tempiasnya tetap terkena kepada penyanyi itu juga.

Biasalah, dalam industri hiburan, apabila ada pihak terlalu emosional mempertahankan seseorang, kadangkala keadaan boleh menjadi lebih keruh tanpa disengajakan.

Cik Bunga percaya hubungan baik antara artis dan media sepatutnya tidak diperbesarkan dengan isu sebegini. Masing-masing mempunyai komitmen dan kekangan tersendiri. Tidak hadir ke sesuatu acara bukan bermaksud tidak menyokong.

Harapnya perkara ini tidak dipanjangkan. Dunia hiburan kita kecil sahaja, dan menjaga hubungan baik itu lebih penting daripada menimbulkan salah faham yang akhirnya memberi kesan kepada nama sendiri.

Scroll to Top