hafizithnin@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Semua pemandu pelancong yang disaran dan perlu menjalani kursus melalui Institusi Latihan Pelancongan (ILPs) dilihat sebagai langkah bagi memastikan mereka mampu melaksanakan tugas secara lebih profesional serta menyalurkan maklumat yang tepat dan berkualiti kepada pelancong yang datang ke negara ini.
Pemandu Pelancong, Raja Shaharil Nasir berkata, latihan dan pendedahan menerusi kursus rasmi bukan sahaja meningkatkan tahap pengetahuan penandu pelancong, malah mampu memperkukuh imej industri pelancongan negara di mata dunia.
“Apabila pemandu pelancong mempunyai ilmu dan latihan yang betul, mereka boleh memberi penerangan yang lebih tepat, berkesan dan berkualiti kepada pelancong.
Perkara ini secara tidak langsung membantu menaikkan nama Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang profesional,” katanya kepada Harian Metro di sini, hari ini.
Semalam dilaporkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mewajibkan pemandu pelancong mengikuti kursus serta lulus ujian kecekapan yang dijalankan oleh Institusi Latihan Pelancongan (ILP) yang diiktiraf di bawah kementerian itu sebelum mereka layak dilesenkan oleh kementerian berkenaan.
Selain itu, MOTAC juga telah bekerjasama dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) untuk mengiktiraf kursus pemandu pelancong sebagai sebahagian daripada ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara melalui pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 dan Tahap 3.
Sementara itu, Pemandu Pelancong, Larry Siga melihat sistem latihan dan pensijilan untuk pemandu pelancong di negara ini sebenarnya sudah lama dilaksanakan menerusi SKM yang kini dikenali sebagai sistem TVET, sekali gus menunjukkan profesion itu mempunyai standard latihan yang tersusun dan profesional sejak lebih dua dekad lalu.
Katanya, amalan berkenaan sudah dipraktikkan lebih 20 tahun, selaras dengan pelaksanaan di bawah Akta Pelancongan Malaysia 1992.
“Semua pemandu pelancong diwajibkan mengikuti kursus SKM Tahap 3 selama enam bulan membabitkan 500 jam latihan, sebelum layak menduduki peperiksaan.
“Saya juga menyokong langkah MOTAC yang menguatkuasakan undang-undang di bawah Akta Pelancongan 1992 kepada semua pemandu pelancong dan penggiat industri pelancongan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




