hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) berhasrat untuk menjalinkan kerjasama strategik dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam aktiviti-aktiviti pencegahan rasuah.
Ketua Pengarahnya, Affendi Rashdi menyatakan hasrat itu ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki di Ibu Pejabat SPRM, di sini, semalam.
Affendi yang dilantik sebagai Ketua Pengarah Labuan FSA baharu bagi tempoh dua tahun, berkuat kuasa 1 Mei lalu hingga 30 April 2027.
Affendi sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Perkhidmatan Bank Negara Malaysia (BNM) selain menerajui hala tuju strategik dan operasi sektor Perkhidmatan Perkongsian Berpusat bagi memperkukuh prestasi institusi serta penyampaian perkhidmatan.
Dalam pertemuan yang berlangsung kira-kira satu jam, Labuan FSA turut menyatakan hasrat memohon penempatan pegawai SPRM sebagai Ketua Unit Integriti.
Sementara itu, Tan Sri Azam berkata, pihak SPRM menyatakan penghargaan atas kesudian pihak Labuan FSA berkunjung ke SPRM dan menyambut baik hasrat untuk menjalinkan kerjasama strategik dengan SPRM.
Hadir sama, Penolong Gabenor BNM, Abd Rahman Abu Bakar dan Pengarah Jabatan Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan (FIED) BNM, Mohd Fuad Arshad.
Ā© New Straits Times Press (M) Bhd