Lagi ulat teksi ditahan di KLIA, kali ini cuba perdaya warga Pakistan pula

Lagi ulat teksi ditahan di KLIA, kali ini cuba perdaya warga Pakistan pula

am@hmetro.com.my

Sepang: Beberapa jam selepas seorang wanita berusia 30-an yang disyaki ulat teksi ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, di sini jam 1 pagi semalam, seorang lagi ulat teksi berjaya diberkas pada hari sama.

Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan, berkata lelaki berusia 50-an ditahan di KLIA Terminal 1 pada jam 6.30 petang.

“Lelaki itu ditahan dalam operasi penyamaran yang dijalankan JPJ di Terminal 1.

“Dia cuba memperdayakan sepasang suami isteri warga Pakistan yang mahu ke pusat bandar dengan mengenakan tambang RM110,” katanya ketika dihubungi New Straits Times.

Azrin berkata, pihaknya kini mempergiat usaha membanteras kegiatan ulat teksi di kedua-dua terminal.

“Ketika ini, pemantauan 24 jam dilaksanakan di KLIA Terminal 1 dan 2 dengan pasukan penyamaran menjalankan operasi harian.

“Sebaik sahaja ulat teksi dikesan mendekati penumpang dan bersetuju mengenai tambang, pasukan operasi akan terus masuk untuk membuat tangkapan,” katanya sambil menambah, ulat teksi sering menyasarkan penumpang tempatan dan pelancong.

Katanya, kegiatan terbabit berlaku sepanjang tahun, bukan bermusim.

“Namun, apabila mereka sedar ada penguatkuasaan, mereka akan berhenti seketika,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top