Kuala Lumpur: Umum mengetahui bahawa pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) saban hari sering menjadi paparan di media sosial bahawa semakin berkurangan peratusan pelajar dalam pendidikan STEM yang meliputi subjek Sains, Fizik, Matematik, Kimia, Biologi, Sains Komputer dan Reka Bentuk dan Teknologi dimana Malaysia masih belum mencapai sasaran yang telah ditetapkan oleh kerajaan, iaitu 60 peratus pelajar dalam bidang sains manakala 40 peratus pelajar dalam bidang sastera. Perkara ini berlaku kerana subjek STEM ini dikenali serta diamuk-amukkan sebagai subjek yang susah kerana terlampau banyak fakta serta bersifat abstrak. Justeru itu, proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) STEM ini seringkali mudah menjadi bosan, stress dan juga tegang. Oleh itu, apakah yang boleh dilakukan supaya suasana pembelajaran dan pengajaran pendidikan STEM ini menjadi kurang tegang dan stress?
Tindakan yang boleh dilakukan untuk menjadikan susana pembelajaran dan pengajaran (PdP) pendidikan STEM menjadi kurang tegang dan stress adalah dengan memperkenalkan serta menyelitkan muzik dalam sesi PdP. Muzik yang perlu diperkenalkan dalam sesi PdP juga
mempunyai jenisnya yang tertentu. Jenis-jenis muzik yang dapat diterapkan dalam sesi PdP adalah muzik klasikal, muzik ambie/elektronik, muzik jazz, bunyi alam semula jadi dan juga rock instrumental. Tetapi disini penulis ingin menekankan lebih kepada muzik jazz di mana jenis muzik dapat membantu dalam penumpuan dan kreativiti. Muzik jazz ini juga boleh mewujudkan mood yang lancar dan menyenangkan untuk belajar. Contoh artis yang menyanyikan genre ini dan mencipta lagu jazz adalah Laufey yang merupakan seorang Cina-Islandia dan beberapa orang lagi artis seperti Miles Davis, John Coltrane, Ella Fitzgerald, dan Billie Holiday. Oleh hal yang demikian, bagaimanakah muzik dapat diaplikasikan dalam PdP?
Sebenarnya, guru memainkan peranan yang penting untuk mengaplikasikan muzik dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP). Guru dapat mengaplikasikan muzik genre jazz ini dalam kelas semasa melakukan aktiviti seperti menjawab kuiz. Ini kerana apabila guru memasang lagu genre ini maka suasana pelajar untuk menjawab soalan-soalan yang dikemukakan akan menjadi kurang tegang dan merasakan seperti berada di dalam sebuah cafe. Selain itu, guru juga boleh memainkan genre muzik yang lain seperti muzik yang ceria dan pop berdasarkan situasi-situasi tertentu seperti berbincang dalam kumpulan, permainan berdasarkan bahan bantu mengajar (BBM) yang guru, bola beracun dan lain-lain lagi. Dengan ini, proses penglibatan pelajar dalam PdP menjadi lebih aktif.
“Muzik boleh memotivasikan anda, meningkatkan mood anda dan membantu anda berehat. Ia juga boleh membantu anda fokus supaya anda boleh belajar atau bekerja. Tetapi jenis muzik yang berbeza boleh memberi kesan yang berbeza.” – Karin Gepp, PSyd
Seterusnya, pelajar juga dapat mengaplikasikan kaedah mendengar muzik ini dalam pembelajaran mereka sendiri ketika belajar subjek STEM. Mereka juga dapat membuat playlist sendiri untuk belajar. Oleh disebabkan setiap murid berbeza secara individu, maka tidak semestinya mereka perlu mendengar satu genre sahaja iaitu jazz. Mereka juga dapat mempelbagaikan jenis muzik yang didengari seperti muzik klasikal yang dapat mengurangkan tekanan, meningkatkan ingatan, dan meningkatkan prestasi kognitif. Muzik klasikal juga boleh mewujudkan suasana santai dan selesa untuk belajar. Beberapa contoh komposer klasik ialah Mozart, Beethoven, Bach, dan Chopin. Dengan itu, mengaplikasikan muzik ketika belajar subjek STEM sebenarnya sangat membantu untuk meningkatkan lagi tumpuan serta pelajar.
Kesimpulannya, memang tidak dapat dinafikan subjek dalam pendidikan STEM adalah subjek yang melibatkan fakta dan agar sukar serta boleh membawa kebosanan kepada pelajar untuk membayangkan kerana majoritinya bersifat abstrak dengan memerlukan daya imaginasi pelajar sendiri untuk membayangkan apa yang dipelajari. Oleh hal yang demikian,guru boleh bereksperimen dengan memainkan pelbagai genre lagu agar PdP menjadi lebih berkesan.
Penulis:
VIRIKYA CINDA A/P EH NEM
Pelajar Sarjana Pendidikan Biologi, Universiti Pendidikan Sultan Idris
DR. MOHD MOKHZANI BIN IBRAHIM
Pensyarah Fakulti Sains dan Matematik, Universiti Pendidikan Sultan Idris



