Lailatul Qadar: Malam perencanaan Allah S.W.T

Lailatul Qadar: Malam perencanaan Allah S.W.T

ALLAH S.W.T berfirman;

Advertisement

إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam Lailatul-Qadar.”

(al Qadr: 1)

Sayyid Qutb menghuraikan istilah Lailatul Qadar dengan maksud ‘malam perencanaan dan pentadbiran’, atau ‘malam penentuan dan penyusunan tadbir Ilahi’.

Beliau juga menyatakan bahawa mungkin juga maksud Lailatul Qadar itu ialah ‘malam keagungan’.

Ia bermaksud tiada malam yang lebih bermakna berbanding malam ini, dalam agenda perencanaan dan penyusunan tadbir Ilahi terhadap kehidupan para hambaNya:

وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ

“Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul-Qadar itu?”

(al-Qadr: 2)

Sayyid Qutb menyatakan mengenai ayat ini;

“Tetapi keagungan itu tidak memerlukan kepada mempercayai berbagai bagai cerita dongeng Lailatul Qadar yang masyhur dalam anggapan orang-orang awam”.

Pada malam itulah Allah S.W.T menjelaskan segala urusanNya yang bijaksana, meletakkan nilai-nilai, dasar-dasar, menetapkan kedudukan termasuk kedudukan hakikat peraturan dan hati hati manusia.

Di sinilah fasa pemisahan antara kejahilan manusia, kepada hidup dengan panduan wahyu Allah S.W.T.

Generasi terdahulu ada yang telah menerima wahyu-wahyu Allah S.W.T melalui Nabi-nabi terdahulu. 

Tetapi, akibat penyelewengan para pendeta mereka, wahyu-wahyu itu telah diputarbelit oleh mereka. 

Mereka mereka-reka sesebuah kenyataan, kemudian mendakwa ia adalah wahyu Tuhan. FirmanNya;

فَوَيْلٌ لِّلَّذِينَ يَكْتُبُونَ الْكِتَابَ بِأَيْدِيهِمْ ثُمَّ يَقُولُونَ هَٰذَا مِنْ عِندِ اللَّهِ لِيَشْتَرُوا بِهِ ثَمَنًا قَلِيلًا ۖ فَوَيْلٌ لَّهُم مِّمَّا كَتَبَتْ أَيْدِيهِمْ وَوَيْلٌ لَّهُم مِّمَّا يَكْسِبُونَ

“Kecelakaan besar bagi orang-orang yang menulis Kitab Taurat dengan tangan mereka (lalu mengubah Kalam Allah dengan rekaan-rekaan mereka), kemudian mereka berkata: “Ini ialah dari sisi Allah”, supaya mereka dengan perbuatan itu dapat membeli keuntungan dunia yang sedikit. Maka kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka, dan kecelakaan besar bagi mereka dari apa yang mereka usahakan itu.”

(al-Baqarah: 79)

Wahyu-wahyu terdahulu telah diputarbelit sehingga tidak diketahui mana yang masih sahih, mana yang tidak.

Tiada lagi sumber ilmu yang benar benar sahih untuk dijadikan rujukan, sehinggalah turunnya al-Quran pada malam Lailatul Qadar.

Sebab itulah, peristiwa ini sangat agung dalam sejarah peradaban manusia. Memperbetulkan semula cara fikir dan ideologi yang telah menyesat, dengan panduan yang betul.

Di sinilah kita dapat lihat bagaimana hebatnya perencanaan Allah S.W.T, dengan jaminan bahawa al-Quran itu tidak akan diputarbelit oleh sesiapa pun.

FirmanNya;

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ

“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.”

(al-Hijr: 9)

MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak
PAS Perak – HARAKAHDAILY 9/4/2023