MEMENANGI pingat Perak bagi Anugerah Jenama Putra Aria pada tahun 2022 dalam kategori e-dagang telah mengukuhkan lagi jenama Lalamove sebagai sebuah platform penghantaran yang paling dipercayai ramai di negara ini.
Kejayaan ini membuktikan komitmen teguh Lalamove dalam membentuk sebuah jenama yang bersepadu buat rakyat Malaysia dan berintegrasi dengan lancar ke dalam kehidupan seharian mereka.
Terbaharu, jenama ini berjaya merangkul pingat Emas dalam kategori sama bagi tahun 2023 sekali gus menyerlahkan lagi dedikasi dan usaha Lalamove dalam meningkatkan pendigitalan perniagaan, terutamanya melalui kerjasama berterusannya dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Melihat kepada usaha Lalamove dalam memperkasakan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), MDEC menjemput Lalamove menjadi salah satu rakan digital di bawah Call for Partnership Programme (CFP) yang bertujuan mempromosikan pendigitalan perniagaan dalam kalangan PKS.
Pengarah Urusan Lalamove Malaysia, Jane Teh, berkata kerjasama strategik antara Lalamove dengan MDEC ini membuka ruang yang lebih besar kepada mereka dalam menyediakan penyelesaian perniagaan pada kos yang efektif buat PKS di samping memperjuangkan usaha mendigitalkan perniagaan.
Jelasnya, kerjasama ini membentuk ekosistem sokongan antara Lalamove dengan pengguna akaun perniagaannya sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi yang lebih luas.
“Lalamove dan MDEC begitu bersungguh dalam menyumbang kepada pertumbuhan dan kejayaan landskap perniagaan di Malaysia,” katanya.
Selain itu, Jane turut berkongsikan transformasi signifikan yang dialami sebuah agensi kreatif di Cheras, Jemz Group, dalam operasi harian mereka apabila menjadi penerima insentif program CFP MDEC.
Bagi mengendalikan pelbagai projek besar melibatkan penghantaran e-dagang harian selama 90 hari berturut-turut hingga kini, Jemz Group mula beralih kepada Lalamove bagi mendapatkan perkhidmatan penghantaran ‘on-demand’ yang dipercayai.

Pengarah Urusan Jemz Group, Jemizan Abu Bakar meluahkan rasa syukur kerana berjaya menghantar setiap pesanan tepat pada masanya.
Jemizan berkata, Lalamove menyediakan perkhidmatan yang cekap dan efisien dalam membantu syarikatnya melakukan penghantaran selama 90 hari berturut-turut secara konsisten.
Pengarah MDEC, Redzwan Abdul Rahim turut menyeru agar lebih banyak PKS memanfaatkan platform seperti Lalamove bagi menyelaraskan pengurusan logistik perniagaan mereka dan meningkatkan kecekapan operasi secara keseluruhan.
Redzwan menekankan bahawa menggunakan platform sedemikian membolehkan PKS menyelesaikan lebih banyak penghantaran dalam masa yang lebih singkat sekali gus meningkatkan produktiviti perusahaan.
Jane menambah, Lalamove bukan hanya menyediakan perkhidmatan logistik perusahaan yang cepat, malah sistem digital di platform mereka juga menjana cerapan data yang berharga untuk pengusaha membuat keputusan termaklum.
“Dengan memanfaatkan perkhidmatan penghantaran ‘on-demand’ kami, pengusaha boleh bertindak balas dengan lebih cekap kepada keperluan logistik perniagaan mereka dan berupaya mendahului pesaing dalam landskap perniagaan yang berkembang pesat ini,” tambahnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




