Laluan 'tactile' dihalang itu biasa – Pertis

Laluan 'tactile' dihalang itu biasa – Pertis

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Hak golongan orang kurang upaya (OKU) yang termaktub dalam Akta Orang Kurang Upaya 2008 (Akta 658) perlu dikuatkuasakan secara tuntas dalam menjamin hak komuniti itu termasuk menggunakan kemudahan sedia ada.

Yang Dipertua Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis), Mohammad Faizal Che Yusof berkata, kesedaran awam mengenai kemudahan komuniti itu seperti laluan ‘tactile‘ masih kurang, malah ada yang tidak mengetahui fungsinya.

“Perkara yang berlaku (tular motosikal menghalang laluan tactile) itu biasa. Sepatutnya di tempat awam bebas daripada segala halangan terutama di lokasi yang disediakan tactile untuk OKU penglihatan.

“Di Malaysia kita ada undang-undang khusus untuk OKU yang mana Akta 685 ini antara lainya menjamin kebolehcapaian iaitu infrastruktur yang boleh digunakan oleh OKU. Jadi tactile selari dengan undang-undang sedia ada.

“Kita berharap kaedah penguatkuasaan di pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat (dipertingkatkan lagi) pelaksanaannya, selain pentingnya kesedaran masyarakat itu sendiri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohammad Faizal berkata, pihaknya juga sering mendapat keluhan daripada komuniti OKU penglihatan mengenai masalah seumpama itu dan mengakui jika orang awam cakna dengan fungsi laluan itu.

“Pastinya kita kesal dengan tindakan seumpama itu kerana menghalang laluan OKU dan dalam masa sama kita juga faham mungkin ada yang tidak tahu fungsi laluan itu disebabkan tiada kesedaran mengenainya.

“Sebab itu ia memerlukan proses pendidikan dan Pertis juga mengadakan kerjasama berterusan dengan pihak berkuasa, program bersama masyarakat dalam usaha untuk memastikan keadaan yang kondusif kepada oku dan sejahtera kepada masyarakat.

“Kita juga berharap pendedahan mengenai laluan ini dapat terus disebarkan secara luas dengan bantuan semua pihak,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, tindakan boleh diambil terhadap motosikal yang menghalang di semua laluan pejalan kaki yang mempunyai laluan tactile atau penanda untuk OKU penglihatan.

Tindakan itu boleh diambil mengikut Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta kenderaan yang ditunda atau disita akan dialihkan ke Depoh Simpanan Tunda Kenderaan DBKL Jalan Pahang untuk penyimpanan sementara.

Harian Metro hari ini melaporkan, lelaki OKU penglihatan terpaksa mengalihkan motosikal yang menghalang laluan ‘tactile’ untuk komuniti itu di sebuah stesen perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) memberi kesedaran kepada orang ramai yang tidak mengetahui fungsinya sebelum ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top