Lama Menyepi, Along Eyzendy Sakit Buah Pinggang Kronik

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Lama menyepi dan jarang melihatnya berlakon sejak kebelakangan ini, terbaru Along Eyzendy memaklumkan dia menghidap sakit buah pinggang kronik.

Menurut Along, ketika meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-40 dua tahun lalu, dia menjalani pemeriksaan kesihatan dan doktor memaklumkan buah pinggangnya rosak dan hanya 19 peratus berfungsi.

Kali terakhir melakukan pemeriksaan kesihatan ialah ketika usia 18 tahun, pelakon itu menasihatkan orang ramai supaya menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum terlambat.

“Kalaulah dulu saya kerap lakukan pemeriksaan kesihatan, mungkin buah pinggang saya dapat diselamatkan,”

“Saya nak beri kesedaran kepada orang ramai bahawa pemeriksaan kesihatan itu adalah perlu. Walaupun kita sihat, tapi kita tak tahu dalaman kita sama ada sihat atau tak,” katanya.

Dalam pada itu, pelakon berusia 42 tahun itu berkata dia bakal menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang dan sudah melakukan beberapa ujian.

“Keadaan buah pinggang saya semakin teruk dan saya rasa sekarang memang sudah rosak sepenuhnya,” katanya.

Along turut memberikan semangat dan nasihat kepada pesakit-pesakit buah pinggang sepertinya agar tidak berputus asa atau kemurungan sebaliknya bangkit untuk meneruskan hidup.

“Kepada mereka yang sama seperti saya, saya faham, apa yang berlaku mampu membuatkan kita bersedih dan kemurungan. Saya juga melaluinya.

“Namun, sama-sama kita bangkit. Sama-sama kita wujudkan semula semangat untuk terus berjuang dan teruskan kehidupan demi kelangsungan kita dan keluarga,” katanya.