Lambaian terakhir buat Gopal Sri Ram

Lambaian terakhir buat Gopal Sri Ram

KUALA LUMPUR – Pusat peringatan dan krematorium Nirvana 2 di Bukit Seputeh di sini hari ini sesak dengan kehadiran ratusan orang yang hadir bagi mengucapkan selamat tinggal buat mendiang Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Rata-rata yang hadir adalah individu dalam kalangan keluarga, saudara mara mendiang, pengamal perundangan, kehakiman, ahli politik, pertubuhan bukan kerajaan dan wakil media

Gopal merupakan Timbalan Pendakwa Raya Kanan bagi kes-kes berprofil tinggi di negara ini.

Seawal pukul 7 pagi lagi, pengamal media serta orang ramaiyang lain mula hadir untuk melihat mendiang yang telah diletakkan dalam keranda.

Antara dilihat ialah Presiden Badan Peguam Malaysia, Karen Cheah, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, Tan Sri Tommy Thomas, Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong dan Datuk P Nallini.

Hakim Mahkamah Rayuan, Vazeer Alam Mydin Meera, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V. Sithambaram, bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Latheefa Koya, pemimpin DAP, Nga Kor Ming serta Ramkarpal Singh, Datuk Ambiga Sreenivasan, Gobind Singh dan ramai lagi.

Suasana Nirvana 2 juga kelihatan hiba dengan masing-masing berkongsi perasaan dan pengalaman mengenali mendiang yang sudah bergelumang dalam dunia perundangan lebih 50 tahun.

Sekitar pukul 2 petang tadi, kereta yang membawa keranda mayat Sri Ram menuju ke pusat kremotorium bagi tujuan pembakaran mengikut ritual masyarakat Hindu.

Bagaimanapun upacara itu diadakan secara tertutup hanya untuk kaum keluarga sahaja.

Dilahirkan pada 16 Ogos 1943, Gopal menghembuskan nafasnya yang terakhir di sebuah hospital swasta dan bekas guru itu dimasukkan ke hospital sejak awal minggu lalu bagi mendapatkan rawatan ekoran jangkitan di paru-parunya.

Beliau memulakan kariernya dalam bidang undang-undang di antara 1970 dan 1994 sebelum dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan sebaik sahaja jawatan itu diwujudkan di negara ini.
Sri Ram meninggalkan seorang balu dan dua orang anak.

Untuk makluman, Gopal merupakan pendakwa utama dalam perbicaraan rasuah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau juga merupakan pendakwa utama bagi perbicaraan rasuah isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor membabitkan projek hibrid solar untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak dan pengubahan wang haram berjumlah RM7 juta. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Gopal Sri Ram meninggal dunia