Lambat 'panas', Hanna tetap laku

Lambat 'panas', Hanna tetap laku

bhhip@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Orangnya cantik, tinggi lampai dan lincah bermain bola sepak wanita di padang, namun nama pelakon, Hanna Aqeela, 31, belum mencipta magis seperti pelakon lain, biarpun hampir tujuh tahun bergelar pelakon.

Barangkali, nama Hanna kurang menyerlah dan cukup pantas mencipta populariti disebabkan tidak pernah dicuit kontroversi serta gosip panas.

Namun, bagi pemain bola sepak wanita Kelab First 11 FC itu, soal populariti tidak langsung mematahkan semangat untuk terus menghayun langkah sebagai anak seni.

Biarpun mungkin tidak sepopular pelakon wanita lain, anak jati Kuala Lumpur itu bagaimana bersyukur tawaran lakonan diterima tidak pernah putus, sejak dahulu lagi.

Jika tidak, masakan mampu bertahan hingga hari ini dan dipilih membintangi drama hebat seperti Patah Sayap Bertongkat Paruh, 30 Pesanan Suara, Rumah Siti Khadijah, Ombak Rindu The Series, Bila Hati Berbicara dan banyak lagi.

Hanna atau nama sebenarnya, Hanna Aqeela Mohd Rosni yang kini muncul dalam drama bersiri, Suara Hati tidak pernah berasa terancam atau mahu berlawan dengan pelakon baharu.

“Alhamdulillah, setakat ini, tiada apa yang perlu dibimbangkan. Walaupun belum sampai tahap popular, namun selagi ada tawaran lakonan, saya okay sahaja.

“Saya tidak pernah mempersoalkan kenapa saya tidak sampai ke tahap sesetengah pelakon yang pantas mencipta populariti. Malah, tidak pernah terlintas untuk berlawan dengan bintang baharu. Jika ingin berlawan sekali pun mungkin dari sudut karya.

“Saya bersyukur tawaran lakonan sentiasa tidak putus. Soal tak popular tidak mengapa, asalkan orang nampak hasil kerja saya, itu pun sudah memadai,” katanya kepada BH Online.

Hanna ditemui pada sidang media drama adaptasi novel, Suara Hati arahan Emy Suffian secara virtual, baru-baru ini. Hanna bergandingan dengan Syafiq Kyle menerusi drama terbitan Global Station Sdn Bhd itu.

Selain Hanna dana Syafiq, drama yang menghiasi slot Tiara di Astro Prima itu turut dibintangi Aidil Aziz, Zeera Hariz, Afzan A Rahman, Qistina Khaled, Syahir Shafein, Liza Rafar, Fazlina Ahmad Daud, Datuk Seri Rezza Shah dan ramai lagi.

Hanna yang memegang watak Hani dalam drama 13 episod itu mengakui, rindu mahu kembali ke lokasi penggambaran selepas lebih dua bulan kerja seninya tertangguh akibat Fasa 1, Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Malah, katanya, pendapatannya turut terjejas akibat tidak dapat keluar bekerja.

Walaupun rindu untuk kembali beraksi, namun pada masa sama, bekas graduan Sains Pemakanan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu bimbang risiko yang bakal ditanggung sekiranya terpaksa keluar bekerja ketika ini.

Tambahan pula, katanya, dia tinggal bersama keluarga menyebabkannya risau boleh mengancam keselamatan keluarga.

“Lebih dua bulan tidak bekerja, banyak juga pendapatan saya terjejas. Lagipun, saya memang bergantung sepenuhnya pada dunia lakonan dan tidak memiliki perniagaan.

“Cuma, saya ada melakukan ulasan produk menerusi platform media sosial, itu sahaja.

“Apabila sudah terlalu lama duduk rumah dan tidak melakukan apa-apa, otak menjadi tepu. Apabila bekerja otak sentiasa berfungsi kerana perlu membawakan pelbagai watak yang lain daripada karakter sendiri.

“Namun, apabila pandemik, duduk rumah dan tidak buat apa-apa memang terasa. Otak jadi tepu, jadi saya perlu melakukan sesuatu dan sentiasa berfikiran positif.

“Meskipun pendapatan terjejas, namun saya lebih takut keluar bekerja jumlah kes jangkitan COVID-19 semakin memuncak. Lagipun, saya tinggal bersama keluarga, jadi saya tidak mahu membawa risiko kepada mereka,” katanya.

Kongsi Hanna, dia sangat berhati-hati sepanjang penggambaran drama Suara Hati dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Lebih menakutkan, katanya, penggambaran dilakukan ketika jumlah kes jangkitan COVID-19 sudah berada pada tahap yang membimbangkan.

“Kami menjalani penggambaran drama Suara Hati pada April lalu. Penggambaran selesai sebelum bulan puasa.

“Kiranya kami menyiapkan penggambaran dalam musim pandemik. Banyak juga halangan terpaksa ditempuhi sepanjang penggambaran seperti lokasi sering berubah-ubah, namun ia lebih kepada masalah dihadapi produksi.

“Produksi pula sangat berjaga-jaga sepanjang penggambaran dengan menyediakan tempat sesuai untuk pelakon bagi langkah keselamatan. Kami sentiasa diingatkan untuk menjaga SOP sepanjang masa.

“Kami sentiasa memakai pelitup muka dan menggunakan sanitasi. Sejurus penggambaran selesai tidak bertemu keluarga bagi mengelakkan sesuatu yang tidak diingini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top