Langgar lampu isyarat merah, penunggang motosikal maut, dua lagi parah

Langgar lampu isyarat merah, penunggang motosikal maut, dua lagi parah

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Seorang maut manakala dua cedera parah dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal dan sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Kampung Raja Uda, Klang dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku jam 4.10 pagi membabitkan Perodua Axia dan tiga motosikal.

“Ketika kereta menghampiri persimpangan Kampung Raja Uda, Klang dan membelok ke kanan jalan dalam situasi lampu isyarat hijau, ia dilanggar sekumpulan penunggang motosikal (dipercayai samseng jalanan).

“Kumpulan itu bergerak arah Klang menghala ke Pelabuhan Klang yang tidak berhenti ketika lampu isyarat merah.

“Akibat pelanggaran itu, lelaki tempatan berusia 22 tahun yang cedera di kepala dan badan maut di tempat kejadian.

“Dua yang parah adalah operator kilang berusia 22 tahun yang cedera di bahagian badan dan kaki manakala seorang lagi pelajar, berusia 16 tahun yang parah kaki sebelah kanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ramli berkata, kedua-dua penunggang motosikal yang mengalami parah dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, bagaimanapun pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan mendapati ketiga-tiga mangsa disyaki terbabit aktiviti samseng jalanan.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kemalangan terbabit agar berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Khairulnizam Abdul Talib di talian 010-2452144.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top