Kerajaan Negeri Kedah menegaskan tidak akan sesekali membenarkan Pulau Langkawi dijadikan Wilayah Persekutuan, walaupun berdepan pelbagai tekanan dan cadangan pihak tertentu.
Percaya ada agenda tertentu
Menerusi Facebook Urus Setia Penerangan Darul Aman, Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyatakan sebarang usaha ke arah itu akan ditentang habis-habisan kerana pulau peranginan itu adalah hak negeri dan rakyat Kedah.
“Ada pihak buat macam-macam untuk burukkan Langkawi, supaya orang tak datang. Saya percaya tindakan itu ada agenda tertentu untuk jadikan Langkawi sebagai Wilayah Persekutuan.
“Langkah mayat kami dulu, kami tak akan beri, buatlah apa cara sekali pun,” katanya tegas.
#
Dakwa agenda tertentu untuk ubah status ‘Permata Kedah’
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Watikah Lantikan Majlis Ketua Kampung (MKK) Daerah Langkawi sesi 2026-2028, melibatkan 118 penerima.
Sanusi turut mendedahkan kemungkinan tindakan tersebut dibayangi agenda tertentu bagi mengubah status ‘Permata Kedah’ itu.
“Sekarang dikatakan, mereka jumpa sumber minyak di pelantar benua antara Langkawi dan Pulau Pinang. Jika Langkawi dijadikan Wilayah Persekutuan, mereka yang untung besar.
“Yang seronok mereka ambil, yang pedih bagi kepada kita. Mana boleh kawal macam itu,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berharap cadangan menjadikan Langkawi sebagai Wilayah Persekutuan tidak dibangkitkan selain menegaskan pembangunan pulau itu tidak harus dijadikan alasan untuk merampas hak negeri.
“Tanah Persekutuan banyak, bangunkanlah yang ada. Jangan ambil tanah kita. Bila negeri membangun termasuk Langkawi, ekonomi negara juga akan berkembang.
“Jangan ada keinginan atau cadangan jadikan Langkawi sebagai Wilayah Persekutuan, baru nak bangunkan pulau ini, tindakan itu tidak betul. Kami menentang cadangan seperti itu,” katanya.

Pada 13 November lalu, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mencadangkan agar kerajaan Pusat mentadbir Langkawi sebagai Wilayah Persekutuan atau zon antarabangsa bagi membolehkan pulau yang kaya dengan potensi pelancongan itu dibangunkan dengan lebih terancang, jika diurus oleh Kerajaan Persekutuan.

Mengulas lanjut perkara tersebut, Sanusi menegaskan Kerajaan Negeri akan memastikan Langkawi yang dihuni kira-kira 120,000 penduduk serta menerima jutaan pelancong setiap tahun terus membangun mengikut acuan sendiri.
Menurutnya, Kedah juga menolak cadangan supaya Langkawi mencontohi pelancongan seperti Phuket atau Hat Yai yang dikaitkan dengan industri hiburan tidak terkawal.
“Ada yang suruh kita meniru Phuket jika nak maju. Mana boleh macam tu. Kita tak mahu budaya tak elok dibawa masuk. Langkawi ada identiti sendiri. Kalau nak semua benda seperti itu, pergi Phuket. Kita tolak industri perjudian dan hiburan melampau.
“Pelancongan kita berkonsepkan keluarga, menikmati alam sekitar, geopark, laut serta makanan yang sedap dan murah,” katanya.
Kekalkan Langkawi jadi tarikan pelancongan
Sanusi berharap, ciri-ciri semulajadi yang ada di Langkawi akan terus kekal sebagai tarikan utama pelancong.
“Bukan kita tak mahu kemajuan tapi kita mahu budaya yang sihat dan pelancongan yang memberi rezeki halal untuk semua orang. Jadi marilah ke Langkawi dengan ciri-ciri yang ada di sini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan pengusaha makanan di Langkawi supaya tidak meletakkan harga tidak munasabah yang boleh menjejaskan imej pulau itu sebagai destinasi pelancongan.
“Jangan manipulasi harga, jangan jual terlalu mahal. Memang kos di sini sedikit tinggi kerana bekalan dari tanah besar, tetapi biarlah berpatutan supaya pelancong tidak serik,” katanya.

Tambahnya, sebahagian besar penduduk Langkawi bergantung kepada sektor pelancongan termasuk penginapan, pengangkutan, makanan dan perkhidmatan, justeru semua pihak perlu memainkan peranan menjaga imej pulau tersebut.
Sumber: Facebook Urus Setia Penerangan Darul Aman




