am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semalam melancarkan Komitmen Kelestarian sebagai langkah strategik untuk menyokong peralihan adil ke arah masa depan yang lebih inklusif, berdaya tahan terhadap perubahan iklim dan terjamin untuk semua rakyat Malaysia.
Pengerusi KWSP, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, meskipun mandat utama KWSP kekal untuk membantu rakyat mencapai pendapatan persaraan yang mencukupi, usaha itu kini diperluas dengan mengambil kira faktor kelestarian alam sekitar, kesejahteraan komuniti dan kekuatan ekonomi negara secara keseluruhan.
“Kelestarian bukan lagi satu pilihan, sebaliknya keperluan strategik. Pelancaran Komitmen Kelestarian KWSP ini mencerminkan bagaimana prinsip kelestarian kini diintegrasikan dalam operasi, dasar dan keputusan pelaburan kami,” katanya ketika berucap pada Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2025 anjuran KWSP di sini, semalam.
Komitmen itu berteraskan tiga tonggak utama iaitu Pemeliharaan Kelestarian Alam Sekitar, Impak Sosial serta Budaya dan Tadbir Urus.
Mohd Zuki berkata, inisiatif pemeliharaan alam sekitar adalah untuk memperkukuh daya tahan iklim dan merangsang pertumbuhan ekonomi rendah karbon, manakala impak sosial memberi fokus kepada keterangkuman, keadilan sosial serta kesejahteraan komuniti.
“Tonggak ketiga pula menekankan budaya tadbir urus mengutamakan ketelusan, integriti dan akauntabiliti dalam segala urusan KWSP,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa langkah menjadikan kelestarian sebagai sebahagian daripada ‘DNA’ KWSP mencerminkan peralihan daripada sekadar aspirasi kepada tindakan yang memberi impak langsung kepada masa depan warganya.
“Apabila ahli KWSP bersara kelak, mereka berbuat demikian dalam dunia masih lestari dan berbaloi didiami,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




