Langkah tepat guna Ivermectin secara 'off lable'

Langkah tepat guna Ivermectin secara 'off lable'

mohd_iskandar@bh.com.m y

KUALA LUMPUR: Kebenaran menggunakan Ivermectin secara ‘off lable’ bagi merawat pesakit COVID-19 ketika ini disifatkan sebagai langkah tepat dalam menentukan keberkesanan dan kesan sampingannya.

Penggunaan secara ‘off lable’ merujuk kepada penggunaan ubat di luar tertera dalam label dan belum atau di luar persetujuan badan atau lembaga bertanggungjawab.

Timbalan Pengarah Pusat Kajian, Inovasi dan Pembangunan (IRDI) Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Prof Dr Azizi Ayob, berkata Kementerian Kesihatan (KKM) harus diberi ruang membuat penyelidikan dan melengkapkan kajian klinikal supaya maklumat keberkesanan dan keselamatan ubat berkenaan dapat dikenal pasti.

“Indikasi sebenar ubat ini ialah sebagai anti-helmint (ubat cacing parasit) termasuklah onchocerciasis, strongyloidiasis dan helminthoases.

“Justeru, mana-mana dakwaan atau indikasi baharu perlu diuji semula secara kajian klinikal dengan mengambil kira kenapa ia perlu diuji berdasarkan penemuan baharu praklinikal.

“Saya tidak menghalang penggunaan Ivermectin namun secara ‘off lable’ buat sementara.

“Pada masa sama, KKM terus menjalankan kajian sehingga mendapat data lebih sempurna untuk menyokong cadangan penggunaan ubat ini,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Dr Azizi yang juga Timbalan Presiden Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) berkata, setakat ini tiada indikasi praklinikal bahawa Ivermectin boleh menggantikan fungsi vaksin COVID-19 kerana sifat mekanisme tindakan Ivermectin adalah berbeza.

“Sebagai pakar farmakologi, saya percaya kajian klinikal rawak boleh merungkai potensi tindakan mekanisme baharu bagi Ivermectin seperti yang ditemui dalam kajian makmal,” katanya.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dilaporkan berkata, KKM tidak menolak kemungkinan meluluskan penggunaan Ivermectin bagi merawat pesakit COVID-19 jika ada bukti kukuh menjelaskan keberkesanan dan kesan sampingannya.

Ketika ini, katanya, penggunaan Ivermectin hanya dibenarkan secara ‘off lable’ sehingga kajian menyeluruh dijalankan.

Ivermectin adalah sejenis ubat antiparasit diluluskan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) yang digunakan secara meluas bagi rawatan beberapa penyakit tropika terabai, termasuk onchocerciasis, strongyloidiasis dan helminthiases.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top