Lapan syarikat minyak dunia kaut untung RM2.8 juta setiap minit

Lapan syarikat minyak dunia kaut untung RM2.8 juta setiap minit

DUBAI: Lapan syarikat minyak terbesar dunia mengaut keuntungan lebih AS$700,000 (RM2.8 juta) setiap minit sepanjang suku kedua tahun ini susulan konflik Iran mencetuskan lonjakan harga tenaga.

Data menunjukkan Aramco, BP, Shell, Equinor, TotalEnergies, Eni, Chevron dan ExxonMobil mengaut keuntungan hampir AS$93 bilion (RM380 bilion) dalam tempoh tiga bulan, hampir dua kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu.

Keuntungan itu diraih ketika harga minyak global melonjak melebihi AS$126 (RM515) setong susulan gangguan bekalan bahan api fosil akibat perang AS-Israel terhadap Iran.

Lonjakan harga tenaga bagaimanapun mencetuskan kritikan aktivis yang memberi amaran jutaan isi rumah terpaksa menanggung bil lebih tinggi, sedangkan syarikat minyak terus menikmati keuntungan besar daripada gangguan pasaran.

Aramco mencatat keuntungan terbesar apabila pendapatan bersih suku tahunannya meningkat 34 peratus kepada lebih AS$33 bilion (RM135 bilion), walaupun infrastrukturnya mengalami kerosakan akibat serangan dron dan peluru berpandu Iran serta Houthi.

Pada masa sama, nilai pasaran lapan syarikat berkenaan meningkat kira-kira AS$600 bilion (RM2.4 trilion) kepada lebih AS$3 trilion (RM12 trilion), ketika dunia berdepan siri gelombang haba ekstrem yang dikaitkan dengan pembakaran bahan api fosil.

Keuntungan luar biasa itu mencetuskan gesaan supaya syarikat minyak dan gas besar dipertanggungjawabkan atas kerosakan alam sekitar serta menggunakan sebahagian keuntungan untuk membiayai peralihan pantas kepada tenaga boleh diperbaharui.

Scroll to Top