Laporan awal nahas helikopter Long Lellang dibentang ke Kabinet esok

Laporan awal nahas helikopter Long Lellang dibentang ke Kabinet esok

KUALA LUMPUR: Laporan siasatan awal nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (PDU) di Long Lellang, Sarawak, akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri esok.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, laporan yang disediakan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) itu mendapati juruterbang helikopter terbabit memiliki lesen penerbangan, kelayakan mengendalikan penerbangan serta sijil perubatan yang sah.

“Susulan kemalangan udara tersebut, BSKU, Kementerian Pengangkutan telah menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca dan keadaan kemalangan udara tersebut. Laporan siasatan awal oleh BSKU telah disediakan dan dijangka akan dibentang kepada Jemaah Menteri pada 16 Oktober 2026.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Secara ringkasnya, siasatan awal BSKU mendapati Juruterbang memiliki lesen penerbangan yang sah dan berkelayakan untuk mengendalikan penerbangan tersebut, serta memiliki sijil perubatan yang sah.

“Helikopter tersebut memiliki Perakuan Pendaftaran dan Perakuan Kelayakan Terbang yang sah dan disahkan layak terbang pada masa pelepasan. Siasatan masih lagi diteruskan dan satu laporan muktamad berhubung kemalangan udara ini perlu disediakan dalam masa setahun daripada tarikh kemalangan udara tersebut,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr. Richard Rapu @ Aman anak Begri (GPS-Betong) yang meminta kerajaan menyatakan tarikh audit keselamatan, surveillance audit dan pemeriksaan terakhir CAAM ke atas operator helikopter 80-105 9M-LLF pasca-nahas di Long Lellang serta status penemuan keselamatan yang belum ditutup sebelum insiden.

Untuk rekod, nahas helikopter di Long Lellang pada 8 September lalu mengorbankan lima nyawa, termasuk juruterbang dan empat petugas Kementerian Kesihatan (KKM). – UTUSAN

Scroll to Top