Tarif elektrik: Kerajaan perkenal konsep bayar ikut penggunaan tahun hadapan

Tarif elektrik: Kerajaan perkenal konsep bayar ikut penggunaan tahun hadapan

farahmarshita@bh.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan akan memperkenalkan konsep pengguna membayar mengikut penggunaan (‘user pay’) tahun hadapan, dalam memastikan pengagihan kos lebih adil dan melindungi kepentingan pengguna domestik.

Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata Suruhanjaya Tenaga (ST) diberi tanggungjawab menjalankan kajian terperinci bagi menilai pendekatan bersesuaian untuk dilaksanakan tahun depan termasuk konsep user pay.

“Konsep user pay akan membolehkan kadar tarif bagi pengguna domestik dan sektor industri ditetapkan secara berbeza berdasarkan corak penggunaan tenaga.

“Ia sekali gus memastikan pengagihan kos lebih adil dan saksama serta melindungi kepentingan pengguna domestik,” katanya ketika Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Azli Yusof (PH – Shah Alam) berhubung langkah kawalan yang lebih tuntas dan bersasar bagi memastikan tarif elektrik kekal munasabah.

Fadillah berkata, kerajaan mengambil perhatian serius peningkatan bil elektrik pengguna domestik di Semenanjung.

Katanya, tumpuan utama sejak krisis bekalan global adalah memastikan kenaikan kos tidak ditanggung sepenuhnya oleh rakyat.

“Sehubungan itu, kerajaan pada 18 September lalu mengumumkan perluasan perlindungan bil elektrik kepada pengguna domestik berkuat kuasa 1 September hingga 31 Disember ini.

“Dalam konteks ini, pengguna domestik merekodkan penggunaan elektrik sehingga 800 kilowatt-jam (kWj) sebulan bersamaan anggaran bil bulanan RM328 ke bawah, dikecualikan sepenuhnya daripada dikenakan Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA), Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta Caj Peruncitan,” katanya.

Fadillah berkata, langkah itu memberi manfaat kepada kira-kira lapan juta pengguna domestik, bersamaan 90 peratus pengguna domestik di Semenanjung.

Katanya, ia selaras jaminan ST Apri llalu yang menyasarkan sekurang-kurangnya 85 peratus pengguna domestik, akan kekal dilindungi.

“Pengguna menggunakan di bawah 1000 kwj sebulan layak menerima rebat di bawah skim insentif cekap tenaga yang diperkenalkan di bawah penstrukturan tarif baharu dan sudah berkuatkuasa 1 Julai 2025.

“Insentif ini bertujuan untuk menggalakkan penggunaan elektrik secara cekap tenaga,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top