Laporan, cadangan dalam MA63 dibincangkan minggu depan

Laporan, cadangan dalam MA63 dibincangkan minggu depan

mdroji@nstp.com.my

PETRA JAYA : Laporan serta cadangan berhubung penyelesaian isu spesifik berkaitan perundangan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan dibentangkan pada Mesyuarat Khas MA63, minggu depan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, laporan akan dibentangkan oleh tiga jawatankuasa kerja yang baru diwujudkan iaitu Jawatankuasa Kerja Rakan Sekutu, Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Sabah dan Sarawak dan Jawatankuasa Kerja Sosioekonomi.

Beliau berkata, penubuhan tiga jawatankuasa kerja itu adalah bagi mengesyorkan kepada Majlis Khas MA63 berhubung cadangan penyelesaian isu spesifik berkaitan perundangan bagi rakan sekutu, keselamatan negeri dan sosioekonomi selaras dengan hak-hak Sabah dan Sarawak dalam kerangka perundangan negara.

“Ketiga-tiga jawatankuasa kerja itu telah selesai mengadakan mesyuarat pertama bagi tempoh suku pertama tahun 2021.

“Insya-Allah, mereka akan membentangkan laporan serta syor-syor mengenai perkara yang dibincangkan di peringkat jawatankuasa untuk diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Khas MA63 yang akan saya pengerusikan minggu depan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Jamuan Negeri sempena lawatan kerja beliau di Dewan Santapan, Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, malam ini.

Yang turut hadir isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg.

Muhyiddin berkata, terdapat beberapa cadangan yang membabitkan pindaan Perlembagaan Persekutuan mengenai hak Sabah dan Sarawak yang sudah diteliti oleh Jawatankuasa Kerja Rakan Sekutu.

“Perkara yang berkaitan dengan hal ehwal imigresen, pendaftaran negara, kawalan sempadan, pendatang asing tanpa izin dan pencerobohan nelayan asing dalam Zon Ekonomi Eksklusif pula dibincangkan oleh Jawatankuasa Kerja Keselamatan Sabah dan Sarawak.

“Hal-hal yang berkaitan dengan pembangunan sosioekonomi Sarawak pula dibincangkan oleh Jawatankuasa Kerja Sosio-ekonomi,” katanya.

Beliau berkata, fokus utama Jawatankuasa Kerja Sosio-ekonomi itu ialah mengenai isu kemiskinan, infrastruktur jalan raya, infrastruktur kesihatan, infrastruktur pendidikan, capaian internet dan telekomunikasi, duti setem yang dikenakan ke atas suratcara pindah milik, caj dan sewaan tanah di bawah Ordinan Tanah Sarawak dan pemberian khas kepada Sarawak di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Muhyiddin turut memberi jaminan bahawa semua tuntutan Sarawak akan dipertimbangkan secara adil dan saksama selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan semangat MA63.

“Saya menaruh harapan yang tinggi agar isu yang berbangkit akan dapat diselesaikan dengan cara yang terbaik dan dengan itu hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak akan kekal kukuh dan bertambah akrab demi kepentingan rakyat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top