KUALA LUMPUR: Kerajaan bersedia mendedahkan laporan Suruhanjaya Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) susulan dakwaan penjualan aset strategik agensi itu pada 2018.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagaimanapun beliau perlu berbincang terlebih dahulu dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berhubung prosedur menerbitkan laporan RCI kepada umum.
Katanya, sekiranya perlu dirujuk kepada Jemaah Menteri, ia akan didedahkan selewat-lewatnya Rabu ini dan jika tidak, laporan itu akan diterbitkan hari ini.
“Keputusan Jemaah Menteri (pada ketika itu) adalah untuk menerbitkan (laporan RCI berkaitan TH), cuma pada ketika itu kita bimbang kerana TH dalam proses pemulihan.
“Kita letak Tan Sri Rashid Hussain (Pengerusi TH) dan pasukan baharu untuk membersihkan (TH) berdasarkan pandangan dan teguran laporan RCI dan kalau kita melakukan terlalu awal mungkin akan menimbulkan keresahan kepada pencarum dan penyimpan
“Sekarang saya rasa TH sudah bertapak baik dan saya tidak ada keberatan sama sekali untuk menerbitkan dan menyebarkan kerana laporan ini adalah hak rakyat untuk mengetahui,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Humane Economy Global Discourse (HEGD) 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan memaklumkan, pendedahan laporan RCI TH kepada umum akan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
Zulkifli turut menafikan dakwaan kononnya bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Ahmad Badri Mohd. Zahir menjual aset strategik TH, sebaliknya ia merupakan keputusan kolektif Kabinet pada 2018.
Katanya, pemindahan aset TH yang kurang berdaya saing dan bermasalah kepada Syarikat Tujuan Khas (SPV) milik penuh kerajaan, Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. (UJSB) dibuat sebagai langkah pemulihan dan penstrukturan semula.
Perdana Menteri berkata, kerajaan mengambil pendekatan berhati-hati dalam membuat pendedahan kerana mengambil kira beberapa perkara antaranya keperluan melakukan transformasi dalam pengurusan TH bagi memperbetul beberapa ketidakaturan yang wujud.
“Sudah tentu terdapat pelanggaran terhadap pelbagai peraturan. Saya tidak mahu menyebutnya sebagai rasuah tetapi sememangnya wujud penyalahgunaan yang serius. Kebimbangan kami ketika itu adalah untuk melindungi simpanan pencarum TH.
“Namun kini, selepas beberapa tahun, saya berpendapat Tan Sri Rashid dan pasukannya telah melakukan tugas yang sangat baik. Mereka berjaya menguruskan TH sebagai sebuah institusi yang diurus dengan baik, telus serta diaudit dengan sempurna.
“Jadi, pada pandangan saya, tidak ada sebab mengapa laporan atau dokumen itu tidak boleh didedahkan. Bagaimanapun, saya perlu menelitinya terlebih dahulu,” katanya. – UTUSAN




