Tidak simpan dendam dikhianati, tetapi terus membina jaringan persahabatan lain

syafil.syazwan@hmetro.com.my

PENGALAMAN pahit dikhianati rakan sendiri dalam kehidupan tidak pernah menjadikan pelakon, Zarif Ghazzi sebagai seorang yang pendendam.

Sebaliknya, dia memilih untuk mematangkan diri dan menyalurkan seluruh emosi serta rasa empati itu ke dalam kerjaya lakonannya.

Bagi pelakon berusia 22 tahun ini, pengkhianatan dalam hubungan persahabatan adalah satu lumrah kehidupan yang pernah dilaluinya.

Namun, perwatakannya yang tidak mudah melenting membuatkan dia lebih cenderung merasakan kesedihan berbanding kemarahan apabila kepercayaan yang diberikan disia-siakan begitu sahaja.

“Dalam kehidupan sebenar, pernah sahaja saya dikhianati. Tapi bagi saya sendiri, saya anggap itu cuma masalah biasa.

“Selagi dia tidak ada pertalian darah dengan saya dan tidak menjejaskan diri saya, kalau dia hilang daripada lingkaran rakan, saya tiada masalah.

“Perasaan sedih itu memang akan ada sebab saya bukan jenis orang yang pemarah. Jadi, kalau saya dikhianati oleh kawan sendiri, saya lebih rasa sedih sebab saya percayakan dia dan sayang kawan saya,” katanya.

Walaupun pernah dilukai, Zarif menegaskan tidak mengalami krisis kepercayaan untuk membina hubungan baharu.

Pendekatan hidupnya yang lebih berwaspada dan suka menjadi pendengar berbanding bercerita membuatkan dia rasa amat selesa berkawan dengan sesiapa sahaja tanpa memiliki prasangka.

“Saya jenis yang mengutamakan keselamatan iaitu jarang bercerita. Saya lebih suka mendengar daripada bercerita.

“Malah, saya tiada masalah untuk berkawan dengan semua orang, sama ada kawan yang baik mahupun sebaliknya,” katanya.

Kematangan emosi itu menjadi perisai utama buat Zarif apabila dia diberikan tanggungjawab berat menerusi drama bersiri, Kudrat 1968: High Council arahan Zulaikha Zakaria dan Khairi Asyraff.

Memegang watak utama sebagai Abbas, Zarif mengakui karakter itu bertentangan 98 peratus daripada personaliti dirinya.

Bagi memastikan peranan remaja miskin berjiwa kental itu dijayakan secara tepat, Zarif perlu mendedikasikan sepenuh tenaga dan jiwa.

Proses penjiwaan watak bagaimanapun menuntut pengorbanan fizikal dan mental yang sangat ekstrem.

“Sebab watak ini memerlukan fizikal yang kurus sebagai budak sekolah miskin berumur 16 tahun, saya terpaksa turunkan berat badan daripada 90 kilogram kepada 69 kilogram dalam tempoh tiga hingga empat bulan. Saya tak makan nasi, cuma makan ayam dan daging serta kerap berjoging.

“Sangat mencabar sebab watak saya ada babak berlawan. Bila tak makan nasi tapi kena berlawan, saya tiada tenaga hingga ditegur pengarah babak aksi. Akhirnya saya ambil juga sumber karbohidrat demi babak aksi itu,” katanya.

Kesan diet ketat dan tekanan emosi yang melampau demi watak turut memberi implikasi terhadap kesihatannya apabila Zarif mendedahkan terpaksa menjalani pemeriksaan kesihatan tiga kali untuk pemeriksaan lanjut.

Malah, tekanan perasaan yang dialaminya ketika penggambaran menyebabkan urat di bahagian kepala dan telinganya mula timbul serta berdenyut secara berterusan.

“Waktu melakonkan watak Abbas, antara kesan sampingan yang saya kena ialah urat terus timbul sampai ke telinga dan berdenyut-denyut.

“Doktor beritahu saya memang kena rehat sebab saya tak cukup rehat dan terlalu tertekan (depress). Semuanya demi menghasilkan watak Abbas,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, penjiwaan watak yang terlalu menebal dalam diri turut terbawa-bawa ke dalam kehidupan seharian di luar set penggambaran.

Zarif mengakui pernah marah kepada rakan serumahnya secara tidak sengaja disebabkan perkara kecil sebelum menyedari emosi itu milik watak Abbas.

Selain Zarif, Kudrat 1968: High Council turut membariskan barisan pelakon lain antaranya Mierul Aiman, Akmal Asyraf, Dai Fuad, Evertts Gomes dan Chech Harith.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top