
Araghchi (kiri) bertemu rakan sejawatannya, Ishaq Dar sejurus tiba di Islamabad pada Jumaat. – Foto AFP
ISLAMABAD – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump segera menghantar Wakil Khas Washington ke Asia Barat, Steve Witkoff dan menantunya, Jared Kushner ke Pakistan pada Sabtu untuk menyambung semula rundingan bersama Teheran.
Kedua-duanya mahu bertemu Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi yang tiba di Islamabad pada Jumaat untuk ‘rundingan dua hala’.
Agensi berita Tasnim melaporkan Araghchi hanya akan menyampaikan pendirian Iran berhubung langkah penamatan perang yang berlarutan selama lapan minggu dengan AS dan Israel.
“Lawatan tersebut bertujuan untuk memastikan penyelarasan secara rapat dengan rakan Teheran berhubung isu bilateral dan mengadakan rundingan mengenai perkembangan terkini serantau.
“Araghchi tidak akan mengadakan sebarang rundingan langsung bersama delegasi AS ketika kunjungan rasmi tersebut,” jelas laporan itu lagi.
Ketika mengulas tentang lawatan penting ke Pakistan, Oman dan Rusia, Araghchi langsung tidak menyebut tentang rundingan damai bersama Washington yang tertangguh susulan kegagalan kedua-dua pihak mencapai persefahaman untuk meredakan ketegangan setelah pelaksanaan gencatan senjata rapuh sebelum ini. – Agensi



